Permohonan Najib ketepi injunksi saman 1MDB beku aset RM681 juta ditolak

September 27, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan satu anak syarikatnya, bagi menghalang beliau daripada melupuskan atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah US$681 juta (RM3.2 bilion).

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad hari ini memutuskan bahawa injunksi itu perlu dikekalkan sehingga saman 1MDB selesai.
Injunksi Mareva ialah perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang, lapor Bernama.

Pada 8 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) bagi injunksi Mareva oleh 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) iaitu plaintif pertama dan kelima dalam saman terhadap Najib dan beberapa individu lagi.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Dalam prosiding hari ini, Atan Mustaffa membuat keputusan menolak permohonan Najib untuk mengetepikan perintah injunksi mareva berkenaan.

Atan Mustaffa yang membacakan keputusan ringkasnya, berkata kes plaintif (1MDB dan anak syarikatnya) ialah, Najib mempunyai aset dalam bidang kuasa, di mana terdapat risiko aset itu dikeluarkan atau dilesapkan sebelum kes saman membabitkan kedua-dua belah pihak diputuskan mahkamah.

Menurut hakim itu, 1MDB mematuhi peraturan Perintah 291 (2A) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu memenuhi kewajipan untuk membuat pendedahan penuh kepada mahkamah ketika mengemukakan permohonan injuksi mareva secara ex parte (sebelah pihak).

Beliau berkata, 1MDB menunjukkan kes yang baik terhadap Najib berhubung setiap tindakannya, antaranya selaku pengarah bayangan (tidak dilantik secara rasmi), Najib bertanggungjawab secara fidusiari kepada 1MDB seperti pengarah rasmi, termasuk bertindak dengan suci hati, jujur, dan tidak mendahulukan kepentingan peribadi berbanding kepentingan syarikat.

Katanya, menurut 1MDB, Najib bagaimanapun melanggar kewajipan itu dengan mengalihkan dana, terutamanya melesapkan AS$681 juta daripada bon berjumlah AS$3 bilion ke dalam akaun peribadinya.

“Persoalannya ialah sama ada terdapat risiko sebenar bahawa defendan akan melesapkan asetnya sebelum penghakiman dibuat terhadapnya. Ia adalah asas dalam permohonan injunksi mareva, iaitupemohon membuktikan, dan bukan setakat menegaskan memang terdapat risiko sedemikian.

“1MDB menunjukkan Najib ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dengan menyalahgunakan kuasanya iaitu mengarahkan bon pada 2013, yang menyebabkan penyelewengan AS$1.592 bilion termasuk pemindahan AS$681 juta ke akaun peribadinya.

“Ini dilakukan sama ada dengan niat jahat atau sikap acuh tak acuh, yang menyebabkan kemudaratan kepada plaintif dan orang ramai. Plaintif memberikan bukti dan hujahan yang tidak boleh disangkal menunjukkan bukan sahaja dakwaan ketidakjujuran semata-mata, tetapi corak yang konsisten dan tingkah laku defendan yang mencadangkan terdapat risiko wang dilesapkan,” katanya.

Atan Mustaffa berkata, defendan menyatakan 1MDB gagal memaklumkan kepada mahkamah mengenai pemulangan wang AS$620 juta kepada kerabat diraja Arab Saudi, bagaimanapun mahkamah mendapati keterangan mengenainya ada dinyatakan oleh plaintif.

Beliau berkata, defendan cuba mengecilkan kebimbangan plaintif dengan mencadangkan bahawa keputusan mahkamah menolak prosiding melucut hak menunjukkan tiada hubungan antara aset yang dirampas dan aktiviti yang didakwa menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, alasan itu adalah sekadar mengelirukan kerana isu utama ialah terdapat terdapat risiko yang boleh dibuktikan berhubung pelesapan aset.

​Katanya, oleh itu mahkamah terikat dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, mendapati alasan plaintif untuk meneruskan prosiding (perintah mareva) ex-parte (sebelah pihak) bukan sekadar cakap sahaja tetapi berakar pada kebimbangan sebenar.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Popular
Isu LGBT dalam kalangan agamawan rosakkan imej Islam
September 25, 2022
4 loji Air Selangor beroperasi semula selepas berhenti tugas malam tadi
February 12, 2023
Pengarah sabotaj air berdepan SOSMA dibenar ikat jamin
April 16, 2021
Azizulhasni terima darjah Datuk Terengganu
July 18, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok