
Pecahan kes kematian mengikut negeri pada 27 September 2021. - Sumber KKM
Kematian
Seramai 258 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam, turun berbanding 278 kes yang dilaporkan pada Ahad lalu.
Jumlah kematian terbaharu itu yang turut membabitkan 75 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital (BID), menjadikan jumlah kumulatif sejak Mac tahun lalu kepada 25,695 kematian.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kemas kini statistik laman sesawang COVIDNOW hari ini menyatakan enam negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes kematian dalam tempoh 24 jam semalam.
Johor merekodkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 53 kes berbanding 32 pada Ahad; Kedah (46 semalam, 27 Ahad); Kuala Lumpur (25 semalam, 12 Ahad); Sarawak (19 semalam, 11 Ahad); Pahang (lima semalam, empat Ahad); dan Perlis (dua semalam, sifar Ahad).
Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 56 kes, walaupun jumlahnya turun berbanding 113 kematian yang dicatatkan pada Ahad.
Kes aktif
Jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara terus menunjukkan trend penurunan. Dalam tempoh 24 jam semalam hanya terdapat 177,560 kes aktif, berbanding 183,289 kes pada Ahad dan 191,434 kes pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, 147,848 pesakit menjalani kuarantin di rumah, turun berbanding 152,299 yang direkodkan sehingga Ahad.
Jumlah pesakit yang menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh negara juga turun daripada 20,147 kes yang dicatat sehingga Ahad, kepada 19,180 pesakit semalam.
Sementara pesakit yang menerima rawatan di hospital seluruh negara juga semakin berkurangan daripada 9,793 kes yang dilaporkan sehingga Ahad kepada 9,554 pesakit semalam, manakala 978 pesakit, termasuk 576 yang memerlukan alat bantuan pernafasan, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) – turun berbanding 1,050 kes yang dicatatkan pada Ahad.
Menurut KKM daripada 9,554 pesakit yang dirawat di hospital, 1,630 pesakit adalah di Johor; Selangor (1,363); Sabah (1,107); Sarawak (1,009); Kelantan (836); Perak (773); Pulau Pinang (570); Kedah (465); Pahang (437); Kuala Lumpur (351); Terengganu (319); Melaka (234); Negeri Sembilan (224); Perlis (175); Putrajaya (58); dan Labuan (tiga).
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) – dilancarkan pada 24 Februari 2021
Sebanyak 84.4 peratus daripada individu dewasa lengkap divaksinasi sejak PICK dilancarkan sehingga semalam, manakala 93.9 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Sehingga semalam juga, 1.0 peratus atau 30,886 daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksinasi, manakala 1,069,480 remaja (33.0 peratus) lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.
Semalam sahaja sebanyak 323,335 dos vaksin diberikan membabitkan 172,388 penerima dos pertama dan 150,947 penerima melengkapkan vaksinasi.
Secara keseluruhannya, 42,699,197 dos suntikan diberikan sehingga semalam membabitkan 70.5 peratus atau 23,007,292 penerima dos pertama dan 19,784,628 individu (60.6 peratus) lengkap divaksinasi.

Peratusan kumulatif pemberian dos vaksin mengikut negeri sehingga 27 September 2021.
Kadar Rt
Kadar kebolehjangkitan Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 27 September 2021 untuk seluruh negara adalah 0.90.
Kecuali Pahang yang mencatat Rt 1.00, negeri-negeri lain merekodkan Rt antara 0.84 hingga 0.99.
Kes baharu
Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam turun mendadak ke paras terendah sejak beberapa bulan lalu dengan kebanyakan negeri turut merekodkan penurunan kes.
Dalam tempoh 24 jam itu 10,959 jangkitan baharu direkodkan berbanding 13,104 kes semalam.
Berita berkaitan: Kes baharu turun ke paras terendah sejak beberapa bulan
Kes sembuh
Jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 yang disahkan sembuh sejak Mac 2020 hingga jam 12 tengah hari semalam, telah melepasi angka dua juta kes atau 90.8 peratus.
Dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari semalam, seramai 16,430 pesakit sembuh menjadikan kumulatif keseluruhan 2,005,942 kes, berbanding 2,209,194 kes positif.
Berita berkaitan: Jumlah pesakit sembuh cecah lebih dua juta