
Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menolak tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perolehan vaksin Covid-19 tidak diluluskan Jabatan Peguam Negara.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak menyalahkan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaannya dalam isu perolehan vaksin yang dikatakan tidak mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini.
Bekas Menteri Kesihatan itu mengulas berhubung usul Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin Covid-19 dibuat Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat semalam yang mengesahkan dakwaan sebelum ini tidak benar kononnya dibuat tidak mengikut proses sepatutnya.
“Jadi ini maknanya, sudah jelas lah sekarang… Jelas bahawa aa segala-galanya dilaksanakan dengan mengikut peraturan yang telah pun ditetapkan dan saya sebenarnya tak salahkan PM (Anwar).
“Saya tahu beliau telah menerima asihat yang tidak tepat pada waktu itu,” katanya dalam rancangan Keluar Sekejap yang disiarkan dalam laman media sosial hari ini.
Pada Februari lalu, Anwar ketika mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin berkata ada perkara yang tidak ikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan AGC.
Khairy kemudiaan menafikan dakwaan itu sambil menegaskan semua perolehan dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet.
Menurut Khairy lagi, tidak ada perkara yang hendak disembunyikan dalam program vaksin tersebut dan kertas putih yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam sudah menjawab segala persoalan yang ditimbulkan sebelum ini.
“Sebab saya tahu bahawa sekiranya pembentangan itu dibuat dengan telus dan mengambil kira semua fakta di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Tidak ada apa yang perlu disembunyikan dan tidak ada apa-apa yang akan menunjukkan dari segi pengurusan dari segi terkelola, dari segi peraturan ada kesilapan yang telah pun dibuat ataupun ada kesalahan yang telah pun aa dilaksanakan oleh pihak saya dan juga rakan-rakan yang terlibat dan bertanggungjawab atas program imunisasi Covid-19,” ujarnya lagi.
Dalam pembentangan usul tersebut semalam, jelas dinyatakan pemakluman kepada Dewan Rakyat bahawa perjanjian perolehan vaksin yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada AGC.
“Bahawa Dewan ini mengambil maklum bahawa perjanjian yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada AGC bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 dapat diperoleh dengan segera, selamat dan teratur mengikut SOP Perolehan Vaksin Covid-19 yang dibangunkan hasil konsultasi KKM bersama Bahagian Perolehan Kerajaan dan Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan.”
Usul itu juga menyebut bahawa perolehan vaksin dilaksanakan atas persetujuan mesyuarat jemaah menteri melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi di mana mereka diberi kuasa untuk berunding, menandatangani perjanjian pembelian serta membuat perolehan vaksin.