
Exco DAP, Yeoh Soon Hin berkata kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan sambutan Bon Odori.
Walaupun umat Islam dilarang daripada menyertai sambutan Bon Odori, kerajaan DAP tidak akan membatalkan sambutan yang berasal dari Jepun tersebut daripada disambut di Pulau Pinang.
Exco negerinya, Yeoh Soon Hin berkata festival Bon Odori yang dijadual berlangsung di Padang Kota Lama, pada 30 Julai akan diteruskan kerana dalam konteks Pulau Pinang sambutan berkenaan tidak mengandungi elemen pemujaan atau upacara keagamaaan tersebut.
“Sambutan itu akan tetap diteruskan sebagai meraikan hubungan antara negara Jepun dan Malaysia yang terjalin sejak sekian lama.
“Kami melihat sambutan Bon Odori yang dianjurkan di negeri ini memupuk semangat kekeluargaan selain merangsang ekonomi,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif itu juga berkata sambutan Bon Odori yang diadakan di Pulau Pinang sebelum Covid-19 mampu menarik lebih 10,000 pengunjung dengan pihaknya menjangka kehadiran semasa peralihan endemik melebihi 5,000 orang.
Terdahulu, Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai sambutan Bon Odori berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan.