Kehadiran PM suntik semangat Harimau Malaya benam Bangladesh 4-1

June 14, 2022 · Isu semasa

Harimau Malaya berjaya menamatkan penantian lebih empat dekad untuk melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 dalam suasana penuh emosi di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam ini.

Ternyata kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan semasa menentang Bangladesh malam ini berjaya menyuntik semangat para pemain dalam memburu kemenangan selepas tewas 2-1 kepada Bahrain tempoh hari.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon berpesta gol membelasah Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia.

Kemenangan disaksikan 52,964 penonton itu, membolehkan pasukan negara mengumpul keseluruhan enam mata untuk menamatkan kempen kelayakan di kedudukan kedua di belakang Bahrain, sekali gus mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023, selaku antara lima naib juara terbaik kumpulan.

Keempat-empat gol pasukan negara malam ini masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Pada aksi bersejarah itu, Malaysia yang bermotivasi tinggi untuk memburu tiga mata memulakan perlawanan dengan garang, apabila memberikan amaran seawal minit keenam apabila rembatan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad terkena tiang, tatkala penjaga gol Anisur Rahman sudah tertewas.

Asakan demi asakan dilancarkan Malaysia di awal permainan membuahkan hasil, apabila Muhammad Safawi Rasid meletakkan pasukan di depan pada minit ke-16 menerusi sepakan penalti, susulan Matthew Davies dijatuhkan Mohammad Atiqur Rahman.

Tiga minit berselang, Muhammad Safawi terlepas peluang menggandakan kedudukan buat Malaysia dan meraih gol kedua peribadinya malam ini, selepas tandukan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang tidak dikawal berjaya ditepis Rahman.

Ketika Malaysia mendominasi permainan, Bangladesh ‘mendiamkan’ seketika suasana Stadium Nasional, apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-31, selepas Mohammad Ibrahim menanduk masuk bola yang berpunca dari lontaran ke dalam jarak jauh rakan sepasukan.

Namun pasukan negara pantas memberikan respons apabila kembali mendahului perlawanan pada minit ke-38, menerusi rembatan kaki kiri pemain pertahanan Dion Cools yang gagal ditampan kemas Rahman, sekali gus meledak gol pertamanya bersama skuad kebangsaan.

Malaysia terus menguasai permainan dan berjaya melebarkan defisit jaringan apabila Muhammad Syafiq yang juga kapten malam ini, menanduk masuk hantaran jarak jauh Mohamad Faisal Halim selepas dua minit bersambung babak kedua.

Pasukan lawan yang dibimbing Javier Fernandes Penato mempunyai peluang merapatkan kedudukan pada minit ke-57, namun rembatan pemain gantian Md Foysal Ahmed Fahim dari jarak dekat berjaya ditepis penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi.

Pasukan negara yang kali terakhir mara secara merit ke Piala Asia pada edisi 1980 di Kuwait mengesahkan kemenangan dengan jaringan keempat, selepas pemain gantian Darren Lok memanfaatkan hantaran Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-73.

Bagaimanapun, impian Muhammad Akhyar untuk mencetak nama sebagai penjaring selepas tandukannya pada minit ke-79 hanya terkena palang, sekali gus keputusan 4-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil Zaid Thamer Mohammed dari Iraq.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama.

Berita berkaitan
Insiden runtuhan tapak pembinaan, tiga pekerja Bangladesh maut di Machang
November 3, 2023· Isu semasa
Harimau Malaya berjaya ikat China 1-1
September 9, 2023· Isu semasa
Ismail Sabri balas Mat Maslan, buat unjuran tanpa fakta semasa PRU-15
June 10, 2023· Politik
KBS jawab Ismail Sabri, peruntukan RM20 juta bina litar tak pernah diluluskan
May 29, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin
October 17, 2022
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024
Baik buruk media sosial
March 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok