
Ahli Parlimen Johor Bahru, Hassan Abdul Karim.
Pendedahan tentang ketiadaan bekalan beras putih tempatan (BPT), minyak masak, gula dan telur ayam sekitar Johor Bahru bukan rekaan semata-mata, kata Hassan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang mempertahankan pendedahan dibuatnya sebelum ini berhubung bekalan barang asas yang terputus di sekitar daerah kawasan Parlimennya sebelum ini dan ia dibuat demi kepentingan rakyat.
“Kenyataan saya tidak bertujuan menimbulkan pembelian panik. Sebaliknya menyatakan fakta dengan beberapa hari selepas itu termasuk tinjauan dibuat hari ini, bekalan bahan-bahan termasuk BPT telah terputus sejak lima hari lalu.
“Menurut pengurus besar pasar raya ini, rakyat terpaksa membeli beras import secara terpaksa. Saya tidak berhajat membuat dakwaan kosong kerana sedar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Hassan juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian.
Sabtu lalu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor turut menggesa KPDN mengadakan jualan Rahmah di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah ketiadaan bekalan barangan keperluan asas.
Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, sejak pendedahan itu dibuat pihaknya, kerajaan mula memberi perhatian berkaitan isu itu khususnya di kawasan Pasir Gudang.
“Saya nasihatkan rakyat beli BPT ikut kemampuan, jangan buat pembelian panik.
“Saya dimaklumkan bekalan sedia ada mencukupi sekiranya rakyat membuat pembelian seperti biasa,” katanya lagi.