
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)
Beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur berdepan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah, umum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Dalam satu kenyataan, pihak Air Selangor berkata mengesan insiden pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor awal pagi tadi, antara kawasan terjejas adalah di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Air Selangor berkata, sehingga jam 4 pagi tadi, keempat-empat LRA iaitu SSP1, SSP2, SSP 3 dan LRA Rantau Panjang sudah mula beroperasi.
“Senarai kawasan sedang dikemaskini dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.
“Kita sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau menghubungi talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di “Help Centre” di laman sesawang www.airselangor.com atau aplikasi Air Selangor.