
Kes dadah.
Polis Perak hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM2.11 juta membabitkan kes yang telah selesai dibicarakan dari 2007 hingga tahun ini.
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Azizi Mat Aris berkata keseluruhan dadah adalah seberat 547.52 kilogram (kg) dan 11,283.18 liter serta membabitkan 3,706 kertas siasatan, lapor Bernama.
“Dadah berkenaan terdiri daripada 4.57 kg heroin, ganja (7.6 kg), syabu (2.61 kg), ketamin (77 gram), ekstasi (6.4 gram), pil khayal (4.1 gram), eramin 5 (76 gram), daun ketum (529.9 kg), monoacetylmorphine (23.9 gram), lain-lain dadah (23 gram), ubat batuk (1.915 liter), diphenhydramine (11,281.3 liter) dan phenazepam (0.0002 liter).
“Proses pelupusan akan dilakukan hari ini oleh sebuah syarikat kontraktor yang dilantik di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.
Sementara itu, Azizi berkata seramai 1,891 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengedar dadah sepanjang Januari hingga September tahun ini dan jumlah itu meningkat sebanyak 23 kes berbanding tahun lepas.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 559 individu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori manakala 76 yang lain didakwa di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.
Selain itu, beliau berkata seramai 8,611 individu ditangkap kerana memiliki dadah sejak Januari hingga September tahun ini, meningkat tujuh peratus berbanding 8,084 individu ditangkap sepanjang 2022.
“Jumlah rampasan dadah bagi kes mengedar dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan berjumlah RM49 juta dengan rampasan tertinggi melibatkan eramin 5, heroin dan syabu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya polis berjaya membongkar operasi lapan makmal haram dadah dan menahan seramai 21 individu yang menjalankan kegiatan berkenaan pada tahun ini.