
Kes polis.
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu kes pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera majikannya yang merupakan bekas ahli politik.
Menurut sumber, bekas ketua pemuda salah satu cabang PKR didakwa mendera dengan kejam seorang pembantu rumahnya yang juga warga Indonesia.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan polis daripada pembantu rumah berusia 54 tahun itu dibuat di Ibu
Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 4.16 petang 22 Ogos lepas.
“Bersabit dengan laporan polis yang telah dibuat, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan tindakan susulan akan dilaksanakan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk mendapatkan pertuduhan ke atas suspek yang juga seorang ahli perniagaan.