
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna akhir, kata Datuk Idris Ahmad.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikan harga barang ketika ini pasti akan menjadi mangsa kepada kenaikan cukai SST kepada lapan peratus yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2024 lalu.
Katanya, kerajaan mengumumkan kenaikan tersebut meliputi semua perkhidmatan cukai SST kecuali empat kumpulan yang masih dikekalkan pada kadar enam peratus.
“Ini akan memberikan kesan rantaian yang akhirnya akan membebankan rakyat sebagai pengguna akhir dalam perkhidmatan terbabit.
“Apakah jaminan kerajaan bahawa peningkatan kadar SST tidak akan meningkatkan kadar bayaran atau kadar harga barangan di pasaran,” katanya di Dewan Rakyat.
Idris terdahulu membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat berkata kerajaan turut menarik balik subsidi ayam dan telur.
Menurutnya, ini menyebabkan kedua-dua barang keperluan itu berisiko mengalami peningkatan harga sekali lagi setelah mengalami kenaikan harga beberapa tahun lalu yang amat membimbangkan.
Katanya, harga telur gred A sebelum ditarik subsidi oleh kerajaan, RM12.90 meningkat kepada RM13.50, sementara gred C RM11.70 meningkat kepada RM12.30.
“Maka harga barang sudah naik dan ayam juga akan naik, hal ini sudah tentulah kita kena akur kerana kewujudan kartel-kartel telur dan ayam yang memanipulasikan barangan berkenaan.
“Bukan sahaja bekalan, bahkan harga kedua-dua barangan ini akan meningkat meskipun statistik Tahap Sara Diri (SSL) telur sudah mencapai 108.9 peratus,” katanya.