
Laporan Agenda Daily 10 Jun 2021
Seorang usahawan kosmetik dan rakannya yang disyaki melakukan komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur direman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret mengeluarkan perintah itu ke atas dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu bermula hari ini sehingga Ahad (13 Jun) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 dan 15a Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2018.
Memetik laporan Bernama, dalam prosiding reman itu, kedua-dua suspek diwakili peguam Nursyafiqah Zamani.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan polis menahan pemilik akaun Instagram dikenali sebagai ‘safieyillias94’ semalam kerana disyaki melakukan komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak di bawah umur.
Perbuatan itu dikatakan berlaku 9 Jun lalu, ketika pemilik akaun Instagram ‘safieyilias94’ mengadakan sesi perbualan sidang video secara langsung bersama rakannya dan disertai dua kanak-kanak bawah umur.
Kedua-dua mereka turut menunjukkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada kanak-kanak terbabit.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pemilik Instagram berkenaan mengadakan sesi perbualan dan sidang video secara langsung disertai pengguna Instagram bernama ‘pipinatasha’ dan dua kanak-kanak bawah umur.
Polis menerima laporan daripada seorang pensyarah universiti yang melihat insiden berkenaan melalui pautan Instagram secara langsung milik ‘safieyillias94’.
“Pengguna Instagram ‘pipinatasha’ juga didakwa berpakaian seksi selain bersama ‘safieyillias94’ menunjukkan cara menghisap vape kepada kanak-kanak terbabit,” kata Mohd Zaid.