Saksi beritahu tak siasat VIP lain didakwa terima wang UKSB

August 10, 2022 · Isu semasa

Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam beliau tidak menyiasat pembayaran tunai melibatkan individu berprofil tinggi lain yang menerima sumbangan kewangan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kerana ia di luar skop siasatannya.

Memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah kontrak sistem visa asing (VLN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pegawai Penguat Kuasa Kanan SPRM V Mahendran berkata beliau tidak menyiasat bayaran tunai yang dibuat kepada individu lain yang dinamakan dalam lejar UKSB kerana mereka tiada kaitan dengan kes yang beliau telah ditugaskan mengikut aduan yang dikemukakan kepada agensi itu.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu lejar itu digunakan oleh pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun untuk tujuan simpan kira pembayaran tunai yang dibuat oleh UKSB kepada pelbagai ahli politik, kakitangan kerajaan dan Zahid sendiri.

“Saya semak lejar, ada nama VIP, rakan niaga, beberapa menteri dan ahli politik, tetapi semakan kemudian mendapati wang yang diberikan kepada individu ini tidak berkaitan dengan Zahid dan kes yang saya siasat (ketika itu) melibatkan VLN dan Pusat Sehenti (OSC).

“Fokus saya adalah berkaitan UKSB dan yang melibatkan kontrak VLN yang terletak di bawah bidang kuasa KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Oleh itu, individu lain (yang dinamakan) tidak ada kaitan dengan kes saya, tetapi SPRM telah memulakan siasatan dengan menugaskan beberapa pegawai penyiasat untuk meneliti lebih lanjut perkara itu (terhadap individu lain yang dinamakan),” kata saksi pendakwaan ke-18 itu.

Antara yang dinamakan dalam lejar sebagai penerima bayaran tunai termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet semasa Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; bekas menteri Kabinet Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman, Tan Sri Ong Ka Chuan dan Tan Sri Chan Kong Choy; serta Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.

Bagaimanapun, kesemua mereka telah menafikan menerima bayaran itu.

Awal hari ini, Mahendran memberi keterangan bahawa siasatan rasuah terhadap UKSB dan dakwaan rasuah yang dibayar kepada pegawai kerajaan berhubung pemberian kontrak VLN dimulakan berikutan aduan yang dibuat oleh kakitangan agensi penguatkuasaan itu sendiri.

Mahendran berkata beliau telah diarahkan oleh pihak atasannya – Timbalan Pengarah Bahagian Gerakan Khas (BOK) SPRM – untuk mengambil alih kes itu sebagai pegawai penyiasat pada 27 September 2018.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mahendran sekali lagi mengekalkan keterangannya bahawa orang lain yang dinamakan dalam lejar UKSB, termasuk dakwaan perantara kepada beberapa individu berprofil tinggi berhubung pembayaran tunai yang dibuat, tidak disiasat kerana mereka bukan tumpuan siasatan beliau.

Ahmad Zaidi: Pembayaran tunai kepada Zahid didakwa dibuat oleh tiga individu yang dinamakan (dari UKSB) iaitu Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun, adakah anda semasa siasatan anda turut menyiasat proksi menteri-menteri tersebut?

Mahendran: Tidak.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Presiden UMNO itu didakwa melakukan semua perbuatan berkenaan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Pakar ekonomi jangka OPR naik dua kali lagi, mungkin naik bayaran pinjaman
August 13, 2022
Pengarah sabotaj air berdepan SOSMA dibenar ikat jamin
April 16, 2021
Ramadan 2021 penuh dugaan, umat Islam Malaysia tetap sabar diuji
May 12, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok