Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Batu Talam, Raub, selama dua minggu, mulai Rabu ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di kampung yang terletak dalam Mukim Batu Talam itu dilaksanakan selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) susulan kebimbangan akan berlaku penularan Covid-19 dikalangan penduduk setempat.
“Setelah meneliti pembentangan KKM mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD dilaksanakan di lokaliti terbabit.
“PKPD akan dilaksanakan bermula 19 Januari hingga 1 Februari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, prosedur operasi standard (SOP) bagi lokasi PKPD sama seperti yang diumumkan sebelum ini.