
Anwar bersama anak muridnya, Zahid Hamidi.
PAS Pahang menyifatkan dakwaan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) akan melompat parti tidak boleh dipercayai.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar mempersoalkan kredibiliti Zahid yang terpalit kes rasuah dan kemudiaan dihentikan perbicaraannya selepas menyokong kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini mahu orang ramai mempercayai kata-katanya pula.
“Jadi, semalam Zahid pula bagi kenyataan konon ADUN kita (PN) akan ‘melompat’, mungkin tindakan balas daripada itu BN akan melompat parti.
“Jadi, tidak perlu kami hendak gelabah sampai buat ikrar pula. Saya yakin bukan sahaja kami ADUN PN dan rakyat tidak percaya dengan kenyataan Zahid. Entah-entah Zahid sendiri pun tidak percaya apa dia cakap,” katanya dipetik laporan Harakah Daily.
Untuk rekod, Zahid sebelum ini juga semasa kempen pilihan raya berkata tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP, namun sebaliknya berlaku.
Zahid selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu membawa UMNO untuk menyertai kerajaan campuran diketuai Anwar dan DAP.
Semalam, Zahid mendakwa menerima maklumat dalaman bahawa beberapa ADUN PN mahu menyokong gabungan UMNO-Pakatan Harapan (PH) di Pahang.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah perdana di FELDA Chemomoi turut mendakwa ada kemungkinan ADUN BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.
Komposisi yang membentuk kerajaan negeri Pahang ketika ini terdiri 16 ADUN UMNO dan lapan ADUN PH, manakala PN mempunyai 17 ADUN.
Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti bagi ADUN sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.