
Calon PKR di Sungai Buloh, R Ramanan.
PKR semalam mengumumkan sedang menimbang untuk menukar calonnya di kerusi Parlimen Sungai Buloh selepas Barisan Nasional (BN) meletakkan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di kawasan tersebut baru-baru ini.
Calon PKR di Sungai Buloh adalah Datuk R Ramanan adalah bekas bendahari agung MIC yang meletak jawatan pada 2014 ekoran kes penipuan yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam ciapan di Twitter berkata bakal mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan hal berkenaan.
“Saya akan berbincang dengan @anwaribrahim mengenai maklum balas pengundi di Sg (Sungai) Buloh mengenai calon PKR setakat ini.
“Saya hargai semua pandangan. Keputusan akhir adalah keputusan beliau (Anwar) sebagai Presiden parti,” ciap Rafizi semalam.
PKR nampaknya sudah menyedari kesilapan yang dibuat apabila meletak seorang calon yang pernah mempunyai kes mahkamah sebelum ini.
Pada 2014 lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ramanan mengembalikan RM5.5 juta kepada pakar psikiatri Tan Sri Dr M. Mahadevan.
Ramanan didakwa memperdaya Mahadevan dengan memberitahu beliau boleh mendapatkan semula hutang RM26 juta daripada Kementerian Pertahanan.
Untuk rekod, Ramanan merupakan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR.
Dalam pada itu, media melaporkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata setakat ini Ramanan kekal sebagai calon di Sungai Buloh dan tiada perubahan setakat ini.
“Setakat ini PH Selangor meneruskan pengumuman calon di majlis ini seperti yang dirancang.
“Kita yakin (hasil) perbincangan yang panjang telah diumumkan sebelum ini dan masing-masing perlu patuh dan akur dengan beberapa keputusan yang telah dibuat,” katanya dipetik laporan Sinar Harian semalam.