Tiada negara beri moratorium menyeluruh, Malaysia sudah 2 kali

Moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, dijangka memberi kelegaan sehingga RM80 bilion kepada kalangan peminjam individu dan perniagaan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bagaimanapun mengingatkan bahawa pemberian moratorium itu adalah langkah sementara dan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Memetik laporan Bernama beliau berkata, kemudahan itu perlu dilihat secara bersama dengan semua usaha bagi mempercepatkan peralihan ke fasa PPN seterusnya.

“Lagi cepat kita beralih fasa, lagi cepat pelbagai sektor boleh beroperasi, maka lagi cepat pemulihan ekonomi kita.

“Sekiranya rakyat sudah boleh keluar mencari rezeki, ini bermakna lebih cepat kita dapat memperoleh semula kehidupan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-59 yang dikeluarkan hari ini.

Moratorium enam bulan itu ditawarkan kepada semua peminjam individu merangkumi golongan B40, M40 serta T20 dan usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan.

Kemudahan itu turut ditawarkan untuk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas namun tertakluk kepada semakan serta kelulusan pihak bank.

Tengku Zafrul turut menjelaskan bahawa tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan dan peminjam hanya perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman berkaitan.

“Ini kali kedua Malaysia memperkenalkan moratorium pinjaman secara menyeluruh selepas dilaksanakan pada Mac tahun lepas.

“Tiada negara lain di dunia yang memberikan moratorium menyeluruh seperti ini malah kebanyakannya hanya menyediakan bantuan pinjaman secara bersasar dan terhad,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa moratorium itu tidak mempunyai faedah berkompaun iaitu tidak dikenakan faedah ke atas faedah.

Menurutnya, hanya faedah terkumpul dikenakan seperti biasa apabila peminjam mula membuat bayaran selepas enam bulan.

“Selain itu, ia juga tidak dikenakan penalti dan tidak direkodkan dalam CCRIS (Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit) bagi mereka yang memilih kemudahan moratorium.

“Ada yang ingin membayar semula dengan kadar bayaran balik asal selepas tempoh moratorium selesai, ada juga yang ingin bayar dengan jumlah yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran balik,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, peminjam yang memilih untuk melanjutkan tempoh bayaran pinjaman lebih lama dari asal akan berdepan bayaran faedah lebih tinggi tetapi perkara itu perlu dirundingkan dengan pihak bank masing-masing.

Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa 1 April sehingga 28 Ogos 2020 bernilai RM81.9 bilion dengan sejumlah RM28.6 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala peminjam individu RM53.3 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR