
Polis melancarkan operasi besar-besaran memburu tiga lelaki yang merompak wang tunai RM1 juta dan barang kemas dari sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, Kelantan, pada 5 Mei 2022.
Polis Kelantan menahan dua individu bagi membantu siasatan kes rompakan wang tunai bernilai RM1 juta serta barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai di Pasir Mas, dekat sini, yang berlaku Khamis (5 Mei) lepas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata lelaki dan wanita warga tempatan berusia 30-an itu ditahan sehari selepas kejadian (6 Mei) dan kini direman hingga 12 Mei ini.
Beliau berkata pihaknya masih mencari bukti-bukti baharu bagi membantu siasatan selain turut memerlukan saksi lain tampil untuk memberi maklumat, lapor Bernama.
“Kita masih mencari bukti-bukti baharu dan dalam kes ini beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh saksi sebelum ini kita perlu sahkan memandangkan pada peringkat awal terdapat pencanggahan maklumat.
“Setakat ini, kita sedang menunggu keputusan daripada bahagian forensik membabitkan bukti-bukti yang ada dan setakat ini ia masih dalam tindakan makmal, kita jangka kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Supt Tan Seng Lee yang memangku jawatan itu sebelum ini kepada pemangku ACP Amran Dolah.
Media sebelum ini melaporkan, polis memburu tiga lelaki disyaki terbabit rompakan wang tunai RM1 juta dan pelbagai barangan kemas di sebuah kedai pajak gadai.
Polis menerima laporan jam 4.45 petang hari berkenaan berhubung rompakan bersenjata di kedai Pajak Gadai Emas Aik Lee di Pasir Mas.
Dalam laporan itu mangsa mengadu didatangi tiga lelaki bertopeng dengan dua daripadanya menggunakan senjata menyerupai pistol dan seorang lagi memiliki pisau.