
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad menghantar surat tuntutan kepada juruaudit yang mengeluarkan laporan didakwa menfitnahnya berhubung skandal projek kapal tempur pesisir (LCS).
Surat tuntutan itu dihantar menerusi firma guaman Chetan Jethwani & Co, melalui surat tuntutannya bertarikh 7 Sept, menuntut juruaudit menarik balik kenyataan berunsur fitnah dalam tempoh 48 jam atau menghadapi tindakan undang-undang dan mengeluarkan permohonan maaf kepada Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).
Menurut laporan media, peguam mewakili Latiff, Chetan Jethwani memberitahu firmanya menghantar surat tuntutan kepada pengarah Alliance IFA (M) Sdn Bhd Prabhat Kumar.
“Kami boleh mengesahkan ada surat tuntutan (yang dihantar kepada juruaudit), tetapi kami belum menerima maklum balas lagi,” kata Chetan.
“Saya bukan dalam kedudukan untuk mendedahkan kandungan surat tuntutan itu, ia adalah sulit,” katanya dipetik laporan media.
Bagaimanapun katanya berkata pihak yang diwakilinya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada juruaudit berkenaan.
Semalam, dilaporkan Latiff berkata tidak teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap audit forensik mengancam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap juruaudit jika dia ‘gagal, enggan atau lalai’ untuk menjawab dalam tempoh 48 jam mulai 7 Sept.
Chetan merujuk pelbagai kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berdasarkan laporan audit forensik, yang dibuat secara dalam talian berikutan keputusan kabinet untuk menukar status klasifikasi sulit pada 17 Ogos.
Rafizi mendakwa Zainab Mohd Salleh – wanita yang dikatakan di belakang dua syarikat luar pesisir dikaitkan dengan projek LCS – sebagai isteri kedua Abdul Latiff. Pun begitu, menteri itu telah menyangkal dakwaan timbalan presiden PKR itu.
Laporan audit itu atas arahan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), syarikat induk Boustead Naval Shipyards (BNS), kontraktor utama projek LCS.
Surat itu menuntut Prabhat menulis ke BHIC untuk membuat pembetulan apa yang didakwanya sebagai kandungan tidak tepat dalam laporan forensik.
“BHIC tidak sepatutnya memberikan laporan yang salah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” kata Chetan lagi.