
Kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Gambar Defence Security Asia
Kementerian Pertahanan menegaskan Jabatan Peguam Negara (AGC) sentiasa dilibatkan dan memberi kerjasama sangat baik, dalam memuktamadkan perjanjian tambahan keenam (SA6) berkenaan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menjelaskan beberapa siri perbincangan serta mesyuarat berkenaan draf SA6, telah dilaksanakan bersama sejak April lepas iaitu selepas keputusan hala tuju projek diluluskan Jemaah Menteri pada 19 April.
Menurut kenyataan itu, hasil daripada kesemua libat urus ini, MINDEF telah menerima ulasan AGC melalui surat bertarikh 24 Mei 2023, di mana empat perkara utama telah dibangkitkan iaitu Progress Payment Plan, Integrated Logistic Support,
Detailed Design dan Liquidated Ascertained Damages, bersama-sama cadangan pindaan lain.
“Kementerian Pertahanan telah mengambil kira kesemua perkara ini dan pindaan berkaitan telah dibuat sewajarnya.
“Justeru itu, SA6 ini telah ditandatangani setelah mengambil kira ulasan AGC dan juga pandangan laporan PAC terdahulu serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan,” menurut kenyataan kementerian itu.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas artikel sebuah portal berita bertajuk ‘PAC kecam MINDEF meterai perjanjian LCS tanpa persetujuan AGC’, yang didakwa dipetik dari laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kemajuan pembangunan LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023, yang dibentang di Dewan Rakyat, semalam.
PAC membangkitkan perjanjian SA6 dimeterai pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) pada Mei lalu yang disifatkan dibuat tanpa mengikut proses yang sepatutnya.
Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi, berkata perjanjian SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lalu, tidak mendapat persetujuan AGC memandangkan jabatan berkenaan menjelaskan bahawa pihaknya sudah memaklumkan kepada MINDEF bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA6 dan dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ia ditandatangani.
“Keputusan MINDEF membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6 ialah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan kerana ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” katanya dipetik laporan media.
MINDEF turut menafikan dakwaan bahawa tiada kemajuan pembinaan LCS sejak lawatan PAC ke-14 pada 11 Dis 2021 hingga lawatan ke-15 pada 10 Jun lepas.
“Ini kerana perancangan penerusan projek LCS yang diluluskan kerajaan pada 19 April lepas antaranya kerja pembinaan bermula pada September 2023, setelah tempoh mobilisasi pembinaan semula selama tiga bulan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd,” katanya.