
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Siasatan masih sedang berjalan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat sebarang keputusan berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini belum ada sebarang maklum balas dapat diberikan berhubung isu tersebut kerana ia masih diperingkat siasatan dan ia perlu disemak terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan dapat diambil.
“Tiada komen mengenainya kerana kita masih siasat. Kita perlu semak perkara itu,” katanya ringkas dipetik laporan Utusan Malaysia.
Azam terdahulu menghadiri Istiadat Konvokesyen MACC Law Enforcement Accredited Programme di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Azam berkata, masih banyak perkara yang perlu disiasat membabitkan kes LCS tersebut.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan banyak lagi perkara yang kita perlu siasat dalam hal penyiasatan ini. Saya ingin membawa semua untuk memahami bahawa perkara-perkara berkaitan tadbir urus dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.
“Mungkin pihak-pihak yang mengemukakan isu tersebut kepada pihak media tentang tadbir urus mungkin diambil dari laporan audit. Namun pihak kami bukan menyiasat perkara itu sahaja, kita menyiasat lebih lanjut lagi daripada itu untuk melihat unsur jenayah yang dilakukan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Jelas beliau, pegawai penyiasat SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kes tersebut termasuk memanggil saksi-saksi dari luar negara.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti dalam projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Abd. Latiff.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd. Latiff.
Dakwanya, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd. Latiff.