Saman 1MDB: Mahkamah arah anak tiri Najib serah dokumen melibatkan Jho Low

August 4, 2022 · Isu semasa

Semua dokumen berkaitan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low perlu diserahkan anak tiri Datuk Seri Najib Razak kepada pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

1MDB berjaya mendapatkan perintah mahkamah terhadap anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga penerbit filem Wolf of Wall Street dan dua syarikat miliknya iaitu Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited untuk menyerahkan dokumen berhubung penyalahgunaan wang AS$248 juta syarikat itu.

1MDB dan tiga subsidiarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited sebelum ini menfailkan tuntutan saman terhadap sembilan entititi termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza dan dua syarikat yang dinamakan sebagai defendan ketika dihubungi berkata penghakiman berhubung perkara itu disampaikan kepada pihak-pihak terlibat menerusi e-mel hari ini.

“Hakim juga memberi masa 30 hari untuk pihak-pihak defendan mematuhi perintah itu. Mahkamah juga menetapkan 12 September ini bagi pengurusan kes selanjutnya,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Antara dokumen yang perlu diserahkan kepada 1MDB dan anak-anak syarikatnya ialah segala dokumen atau surat menyurat di antara Riza dan ahli perniagaan, Low Teck Jho atau Jho Low di antara 2008 hingga 2015.

Riza, Red Granite Pictures dan Red Granite Capital juga perlu memberikan butiran terperinci mengenai penerimaan wang berjumlah AS$248,173,104 yang didakwa sebagai pinjaman daripada kerabat diraja Arab Saudi dan diberikan melalui syarikat yang dikenali sebagai Alsen Chance Holdings Limited iaitu sebuah syarikat yang dimiliki secara benefisial oleh keluarga diraja Arab Saudi.

Red Granite Pictures dan Red Granite Capital juga perlu mengemukan dokumen yang memperincikan penggunaan dana tersebut antaranya dalam menghasilkan filem Wolf of Wall Street, perbelanjaan peribadi defendan ketiga (Red Granite Capital) dan pembelian beberapa hartanah di New York, California dan London.

Menurut writ saman yang difailkan pada 7 Mei lalu, plaintif mendakwa kesemua defendan telah menerima kira-kira AS$248 juta dalam dana yang dilesapkan daripada plaintif antara 2011 dan 2012 selain mendakwa mereka menggunakannya untuk kepentingan diri dan sekutu, termasuk bagi tujuan pembiayaan produksi filem dan pembelian pelbagai hartanah.

1MDB mendakwa firma guaman Shearman and Sterling membenarkan Riza serta ‘sekutunya’ iaitu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low menggunakan akaun klien di firma itu itu untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi bahawa defendan pertama (Riza) bertanggungjawab atas dana yang dilesapkan dan diterima atas alasan penerimaan berpengetahuan atau secara alternatifnya penolongan tidak jujur.

Writ saman itu juga menyebut, plaintif-plaintif berhak untuk dibayar balik dana yang dilesapkan dan diterima defendan pertama atas alasan menjadi kaya secara tidak adil (unjust enrichment).

Sementara itu menurut penyataan pembelaan Riza dan dua syarikatnya, dia mendakwa memperoleh pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company (IPIC ) untuk menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat dan bukannya daripada dana 1MDB.

IPIC merupakan syarikat yang ditubuhkan di Abu Dhabi yang pada ketika itu Pengarah Urusannya adalah Khadem Abdullah Al-Qubaisi, yang merupakan bekas pembantu Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan iaitu Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan juga ahli keluarga diraja.

Berita berkaitan
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Popular
Tuntut cerai: Mahkamah perintah Khir Toyo, isteri lantik Hakam Islah
June 27, 2022
Kos sara hidup tinggi: Pelajar IPT terpaksa tangguh pengajian
September 30, 2022
Radzi arah KSU lapor SPRM dakwaan Zaharin
October 17, 2022
Selesaikan isu harga makanan di kantin, jangan ikut formula Rafizi
January 9, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok