
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (gambar) berkata rakaman audio yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang dianalisis.
“Sekiranya sudah ada, hasil analisis itu akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk klasifikasi kes serta tindakan lanjut.
“Sebolehnya, dalam apa juga kes kita cuba untuk dapatkan penyelesaian cepat dan siasatan segera,” katanya di Klang, hari ini.
Katanya, kertas siasatan berhubung rakaman audio itu juga sudah dibuka dan Zahid serta Anwar akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Prosedur operasi standard apabila kertas siasatan dibuka, itulah yang perlu diambil. Apabila tiba masanya, pegawai penyiasat akan merakamkan kenyataan, ia adalah proses siasatan.
“Sekiranya, kedua-dua pihak iaitu Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil buat aduan supaya polis boleh buat siasatan dari sudut itu,” katanya.
Difahamkan, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Agenda Daily sebelum ini menyiarkan rakaman audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar ‘berbual mesra’ menerusi telefon ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.
Zahid dan Anwar bagaimanapun menafikannya dan mengarahkan pegawai mereka membuat laporan polis. Namun, sehingga berita ini ditulis kedua-duanya belum membuat laporan itu.