
Jenayah di media sosial.
Tindakan seorang wanita yang memuat naik gambar menunjukkan tatu kalimah Allah di badan seorang wanita lain di Facebook mengundang padah apabila ditahan pihak polis.
Penahanan wanita itu disahkan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd. Saaduddin yang berkata wanita berusia 46 tahun itu ditahan dalam serbuan di Gombak, Selangor.
Wanita tersebut dipercayai pengendali serta pemilik akaun Facebook @Bunga Matahari.
Selain itu, sebuah telefon bimbit berserta satu kad sim juga dirampas dalam serbuan itu.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Mei untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat hantaran atau menularkan perkara yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja di mana-mana platform media sosial sehingga membangkitkan perpecahan keamanan serta menggugat keharmonian kaum.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” ujarnya.