
Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) sepatutnya diwakili ketua sesebuah kerajaan, bagaimanapun sebaliknya Malaysia hanya menghantar Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai wakil negara.
Kebiasaannya, CHOGM akan dihadiri ketua-ketua kerajaan Komanwel seluruh dunia tetapi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri tidak menghadiri mesyuarat yang berlangsung di Kigali, Rwanda mulai hari ini sehingga Sabtu.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra, CHOGM kebiasaannya diadakan setiap dua tahun sekali, namun, mesyuarat ke-26 yang sepatutnya pada 2020 lalu ditunda kerana isu Covid-19.
“Tema kali ini adalah ‘Delivering A Common Future: Connecting Innovating, Transforming’ yang relevan dengan situasi semasa komuniti global kini berdepan pasca pandemik,” jelasnya.
Bagaimanapun, bekas PM Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga tidak hadir mesyuarat CHOGM di London pada 2018.
Najib semasa tidak dapat hadir ke mesyuarat tersebut berkata mahu memberi tumpuan lebih kepada situasi dalam negara sejurus pembubaran mengejut sidang Dewan Rakyat yang membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Mengulas lanjut, Wisma Putra bagaimanapun tidak memberi penjelasan berhubung isu ketidakhadiran CHOGM kali ini yang dianggap platform penting Malaysia di pentas Komanwel.
Sebaliknya, ia memaklumkan bahawa kesemua pemimpin dari 54 negara itu membincangkan kesan Covid-19 mengakibatkan jurang ketara pengagihan kekayaan dan akses kesihatan.
“Ketua-ketua kerajaan turut akan bertukar pendapat mengenai cabaran semasa yang boleh menjejaskan Keluarga Komanwel ke arah pembangunan lebih mapan,” kata Wisma Putra.
Mereka juga jelasnya, akan membincangkan perkembangan politik dan ekonomi serta perihal urus tadbir kerajaan dan kedaulatan undang-undang selain isu belia serta teknologi inovasi.
Deklarasi Kigali pada hari terakhir bakal diterbitkan mengenai Reformasi Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak serta Perbandaran Lestari yang akan diperakui oleh semua pemimpin.
Sepanjang persidangan itu, Saifuddin dijangka bermesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu berkepentingan bersama serta bertemu rakyat Malaysia di Rwanda.
Malaysia menjadi ahli Komanwel selepas kemerdekaan pada 1957 dan pernah menganjurkan CHOGM Ke-11 pada 1989 yang memperakui Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar.