
Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Presiden Bersatu iu untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Selepas empat pertuduhan rasuah terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan hari ini, tiga lagi pertuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA) 2001 juga perlu digugurkan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia susulan kes AMLA itu tidak boleh berdiri sendiri.
“Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM adalah cacat, tidak mendedahkan sebarang kesalahan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Atas sebab itu, Mahkamah melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin dari kesemua pertuduhan yg dikatakan perbuatan rasuah salah guna kuasa.
“Oleh kerana kesalahan utama/predikat telah dibatalkan maka 3 pertuduhan AMLA juga tidak boleh berdiri secara sendiri dan harus juga dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pagi tadi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonan Presiden Bersatu iu untuk membatalkan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Dalam pada itu, Azmin yang juga ADUN Hulu Kelang berkata keputusan mahkamah itu merupakan kejayaan kepada mereka dalam membuktikan wujudnya ‘tangan’ jahat.
“Kejayaan hari ini membuktikan ada ‘tangan’ yang berniat jahat untuk mencalarkan imej dan kredibiliti Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin supaya rakyat menolak Perikatan Nasional (PN).
“PN bertegas dari awal bahawa sekiranya kerajaan berpegang kepada prinsip “rule of law”, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dituduh dalam Mahkamah.
Perikatan Nasional yakin bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa. Malahan, beliau adalah seorang yang tuntas menentang amalan rasuah termasuk menentang skandal kewangan terbesar 1MDB sehingga beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
“Keputusan Mahkamah pagi ini akan memperteguhkan pendirian kami Perikatan Nasional untuk menentang segala bentuk amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan hari ini dan memberikan fokus untuk membangunkan ekonomi rakyat dan negara,” katanya.