
Ahmad Sabki Yusof dilantik Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia berkuat kuasa 1 Mac 2023.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini (13 Mac 2023) memaklumkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Pertanian Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahmad Sabki Yusof, dilantik sebagai pengerusinya yang baharu berkuat kuasa 1 Mac lalu.
SSM dalam satu kenyataan berkata Ahmad Sabki yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan daripada Universiti Islam Antarabangsa, adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan syarikat dan komersial.
“Beliau juga pernah memegang jawatan utama di pelbagai syarikat, organisasi dan firma guaman dalam tugasan berkaitan undang-undang komersial, pengurusan, tadbir urus korporat, pematuhan serta pengurusan risiko,” menurut kenyataan ringkas itu.
Pengumuman itu menyusul pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Untuk rekod, Ahmad Sabki sebelum ini pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2019 lalu atas dakwaan menerima jam tangan berharga mahal dari pihak tertentu semasa memegang jawatan sebagai setiausaha politik.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan dan jam tangan itu dikembalikan kepadanya setelah SPRM memaklumkan tiada sebarang pertuduhan dikenakan ke atas beliau.
Menurut Ahmad Sabki, jam Omega itu beliau terima daripada rakan dan juga klien beliau (semasa kerjaya beliau sebagai peguam) dan telah beliau kenali sejak sebelum menjawat jawatan dalam kerajaan.
Lantik ahli politik dalam GLC, Bersih bidas Anwar cakap tak serupa bikin