
Bersih.
Kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik cakap tidak serupa bikin dalam isu berhubung lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih membidas Perdana Menteri kerana meneruskan amalan melantik ahli politik dalam GLC walaupun sebelum ini lantang menentangnya semasa menjadi pembangkang, ia susulan lantikan dua ahli politik baru-baru ini.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann kesal dengan kerajaan campuran Anwar dengan menyifatkan pelantikan politik bercanggah pendirian sebelum ini dan merugikan pengundi jika ia melibatkan wakil rakyat pada masa ini.
“Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan ADUN sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC,” kata Fann dalam satu kenyataan hari ini.
“GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan.
“Dalam senario terburuk, dana boleh dialihkan secara rasuah untuk kepentingan peribadi,” ujarnya lagi.
Beliau menggesa kerajaan bertanggungjawab secara terbuka untuk sebarang pelantikan politik dan meletakkan proses yang jelas untuk memastikan calon terbaik dipilih berdasarkan kelayakan mereka.
“(Ini harus terpakai) walaupun mereka bukan ahli politik seperti Datuk Asyraf Wajdi Dusuki,” katanya merujuk kepada bekas Ketua Pemuda UMNO.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pelantikan Asyraf dan berkata beliau telah memberikan surat pelantikan pada Jumaat lepas.
Minggu lalu, kerajaan juga mengumumkan Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd.
Bakhtiar adalah bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. MyCreative ialah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan melapor kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.