Perbicaraan dana 1MDB: Tiga pertuduhan dihadapi Najib dibenarkan pindaan

November 6, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam keputusan ringkasnya, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata naratif pendakwaan berhubung kesnya tidak berubah kerana hanya angka dan jumlah yang akan dipinda oleh pihak pendakwaan, lapor Bernama.

“Tiada niat jahat atau mala fide dalam permohonan ini (untuk meminda pertuduhan) seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan dan pertuduhan yang dipinda tanpa prejudis terhadap tertuduh.

“Pindaan itu akan dibuat menurut keterangan saksi pendakwaan, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan (PW47) dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min (PW48). Pihak pendakwaan dalam haknya untuk meminda pertuduhan sebelum menutup kesnya,” kata beliau.

Hakim berkata kedua-dua saksi itu mempunyai pengetahuan khusus mengenai jejak wang dan terutama berkaitan sama ada pergaliran wang dan jumlah yang diterima dalam akaun bank tertuduh adalah ratifikasi sepenuhnya atau sebahagian atau hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Dalam keterangan kedua-dua saksi ini, didapati sejumlah wang adalah daripada sumber yang tidak diketahui dan oleh itu tidak boleh ditetapkan dengan pasti sebagai hasil yang menyalahi undang-undang dengan merujuk kepada pertuduhan predikat keempat,” kata hakim.

Susulan keputusan itu, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga pertuduhan yang dipinda dibacakan kepada Najib dan bekas perdana menteri itu mengulangi pengakuan tidak bersalahnya terhadap semua pertuduhan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan beberapa dokumen bank yang dikaitkan dengan keterangan Foo sebagai bukti dalam kes itu.

Pada 24 Okt, pasukan pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mereka mahu meminda satu daripada empat pertuduhan salah guna kuasa Najib dan dua daripada 21 pertuduhan pengubahan wang haram, berikutan keterangan dua saksi (Adam Ariff dan Foo) baru-baru ini.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, pihak pendakwaan mahu meminda jumlah daripada RM49.9 juta kepada RM44.6 juta, manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, pihak pendakwaan mahu meminda pertuduhan ke-10 yang Najib didakwa melakukan kesalahan dengan memindahkan wang aktiviti haram, dengan mengurangkan jumlah yang terlibat daripada RM652.6 juta kepada RM515.7 juta.

Selain itu, pihak pendakwaan juga mahu meminda pertuduhan ke-21 melibatkan pemindahan dana dengan mengurangkan jumlah RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta perbicaraan hari ini dilapangkan kerana beliau dimaklumkan anak guamnya masih tidak sihat selepas dijangkiti COVID-19 minggu lepas.

“Pagi ini anak guam saya memaklumkan bahawa beliau masih tidak sihat 100 peratus dan memerlukan hari ini, dengan pertimbangan Yang Arif, untuk berehat dan memulakan perbicaraan pagi esok,” katanya.

“Dua daripada peguam dalam pasukan saya juga dijangkiti COVID-19 dan untuk berlaku adil kepada mahkamah, kami semua akan melakukan ujian pada sebelah malam untuk memastikan tiada seorang pun daripada kami didapati positif,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar tidak membantahnya.

Perbicaraan disambung semula pagi esok.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Berita berkaitan
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023· Politik
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023· Isu semasa
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
November 29, 2023· Isu semasa
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
5 jam lalu · Isu semasa
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023 · Isu semasa
Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan kekal setakat pagi ini
November 29, 2023 · Isu semasa
Mahkamah tolak permohonan penghakiman terus syarikat barang kemas terhadap Rosmah
November 29, 2023 · Isu semasa
Kes empat beradik ditinggalkan, dua individu ditahan dipercaya ibu bapa
November 29, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] ‘Permainan’ pegawai politik punca kerajaan 22 bulan tumbang
1 jam lalu
[VIDEO] Belanjawan 2024 paling pantas diluluskan DUN Kedah, kata Sanusi
2 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok