
Penyanyi rap, Prakazrel ‘Pras’ Michel, ahli kumpulan hip hop Fugees, dituduh gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa AS langkah melobi melalui saluran belakang bagi pihak Jho Low. - Gambar Reuters
Penyanyi rap, Prakazrel “Pras” Michel dibayar AS$100 juta (RM443 juta) untuk membantu menghentikan penyiasatan Amerika Syarikat (AS) terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan membantu kerajaan China dalam mendapatkan ekstradisi seorang jutawan, kata pendakwa raya AS kepada juri semalam.
Bloomberg memetik pendakwa raya, Sean Mulryne sebagai berkata Michel, 50, memainkan peranan penting dalam rancangan untuk meyakinkan pentadbiran Presiden Donald Trump bagi menamatkan siasatan terhadap Jho Low yang didakwa menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Michel juga dituduh bertindak sebagai ejen China dalam mendapatkan ekstradisi terhadap Guo Wengui, kata Mulryne.
“Kes ini mengenai pengaruh asing, ia mengenai wang asing, ia mengenai ketamakan,” kata Mulryne dalam hujah penutup menyusul empat minggu keterangan pada perbicaraan lobi haram Michel di Mahkamah Persekutuan Washington.
Michel, ahli kumpulan hip hop Fugees, dituduh gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa AS langkah melobi melalui saluran belakang bagi pihak Jho Low. Penyanyi rap itu dikatakan menyimpan AS$70 juta daripada AS$100 juta yang dibayar Jho Low untuk melobi buat dirinya sendiri.
Dia itu juga didakwa menyalurkan AS$2 juta (RM8.8 juta) wang Jho Low ke dalam kempen Presiden Barack Obama pada 2012.
Pada 2017, Mulryne berkata penyanyi rap itu bekerjasama dengan “konspirator” lain untuk cuba menyekat tuntutan rampasan sivil AS terhadap Jho Low dan berkempen untuk ekstradisi Guo ke China.
Para konspirator termasuk bekas pengumpul dana Trump, Elliott Broidy; bekas peguam Jabatan Kehakiman, George Higginbotham, yang bekerja di sisi sebagai peguam Michel; dan Nickie Lum Davis, ahli perniagaan Hawaii.
Ketiga-tiga mereka telah mengaku bersalah tetapi Broidy telah diampunkan oleh Trump. Higginbotham dan Broidy memberi keterangan sebagai saksi kerajaan.
Michel didakwa dengan Low, seorang pelarian yang kini dicari oleh beberapa negara termasuk Malaysia. Siasatan menunjukkan Jho Low menikmati beberapa tahap perlindungan daripada kerajaan China.
Selain gagal mematuhi Akta Pendaftaran Ejen Asing AS (FARA) dan pertuduhan ejen China, Michel didakwa mengganggu saksi. Dia juga didakwa bersubahat untuk mencuci wang.
Peguam Michel, David Kenner, berhujah bahawa Broidy mahupun Higginbotham tidak memberi keterangan bahawa mereka memberitahu Michel dia mempunyai kewajipan untuk mendaftar sebagai ejen asing.
“Michel tidak mempunyai pengetahuan tentang keperluan untuk dia mendaftar di bawah FARA. Tiada siapa yang memberitahunya, dan dia sendiri tidak mengetahuinya,” kata Kenner.
Michel sendiri telah memberi keterangan dalam pembelaannya sendiri minggu ini, lapor Bloomberg, memberitahu juri dia tidak pernah bertindak bagi pihak China dan bahawa dia tidak tahu dia perlu memberitahu AS di bawah FARA.
Rapper itu berhujah bahawa AS$100 juta yang diterimanya datang secara tidak langsung daripada Low, seperti yang dikatakan pendakwa raya, tetapi merupakan pelaburan untuk projek hiburan.
Dia juga mengaku telah membayar “rakan” untuk menderma kepada kempen Obama, tetapi mendakwa berbuat demikian dengan wangnya sendiri dan bukan Low.
Sebelum ini, Michel dikatakan menerima sejumlah AS$20 juta untuk membantu Low mendapatkan gambar bersama keluarga Obama.