
Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki suruh orang lain tekan butang terhadap kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pembentukan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kritikan Pemuda UMNO hari ini.
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan penubuhan jawatankuasa tersebut yang disifatkannya bertindan walhal sebelum ini sudah ada jawatankuasan yang berperanan sama seperti Majlis Pemulihan Ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kos Sara Hidup dan lain-lain.
Asyraf menyifatkan penubuhan jawatankuasa yang diumumkan Ismail Sabri itu membazir kerana menelan belanja jutaan ringgit.
“Persoalannya, apakah peranan Majlis Pemulihan ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi, Majlis Kos Sara Hidup dan lain-lain yang memakan jutaan kos?
“Malah, banyak bidang kuasa juga nampak bertindan selain menteri-menteri sama juga dalam semua majlis ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Pasukan khas dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, itu berperanan mengumpul maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta menyelaras tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Asyraf mencadangkan tujuh strategi yang perlu dilaksanakan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk menangani isu kenaikan harga barang ketika ini.
Antara strategi itu termasuklah meningkatkan keyakinan terhadap ringgit dan melaksanakan pendekatan ampuh untuk menarik pelabur untuk melabur dalam negara.
Pasukan khas tersebut akan bertanggungjawab mengumpul data daripada semua kementerian, agensi berkaitan dan orang ramai bagi merangka strategi dan menyelaras usaha untuk mengatasi inflasi dan kesannya terhadap harga barang.
Pasukan petugas lain termasuk Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Malaysia kini sedang menghadapi krisis kos sara hidup di mana harga makanan ruji dan keperluan meningkat secara mendadak dan stabil sejak awal tahun.