
Vaksin dos tunggal CanSino dikeluarkan oleh syarikat China, CanSino Biologics Inc dan Institut Bioteknologi Beijing di bawah Akademi Sains Perubatan Tentera. - Gambar Reuters
Program vaksinasi Covid-19 negara akan berjalan lebih lancar apabila kerajaan dijangka mula menerima 3.6 juta vaksin dengan dos tunggal, CanSino, bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata vaksin CanSino adalah vaksin dengan dos tunggal yang sudah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sebelum ini.
“NPRA juga meluluskan satu lagi vaksin dos tunggal Johnson & Johnson. Ini bermakna kita ada satu lagi calon vaksin dos tunggal, bagi dalam program vaksinasi negara,” katanya dalam program bual bicara Bernama TV, malam tadi.
Vaksin itu dikeluarkan oleh syarikat China, CanSino Biologics Inc dan Institut Bioteknologi Beijing di bawah Akademi Sains Perubatan Tentera.
Mengulas mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan kanak-kanak, Dr Adham berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 akan meneliti data yang dikeluarkan pengeluar vaksin.
“Pihak Pfizer sudah mengeluarkan kelulusan untuk pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas tetapi ketika ini, kita perlu menyelesaikan fasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terlebih dahuulu. Kita mempunyai keutamaan mengikut fasa tertentu.
“Bagi mereka yang berusia 12 tahun ke atas juga, kita mempunyai perancangan tetapi kena melihat data yang lebih menyakinkan daripada Pfizer. Soalnya, kita juga perlu melihat kumpulan mana yang perlu diutamakan dahulu,” katanya.
Menyentuh sesetengah pihak yang enggan mendapatkan vaksin, Dr Adham berkata, pihaknya yakin hanya segelintir sahaja yang mempunyai agenda sedemikian kerana berdasarkan dua kajian yang dilakukan, majoriti mahukan suntikan vaksinasi.
“Apa yang kita perlu lakukan sentiasa memberi penerangan vaksin itu selamat dan berkesan dan kita perlu perbetulkan apa yang tidak betul,” katanya.
Beliau berkata, vaksinasi rakyat satu petunjuk penting dalam mencapai kejayaan menerusi Pelan Pemulihan Negara.
“Kita mahu angka yang divaksin tinggi selari dengan nilai ambang yang sudah ditetapkan dalam pelan pemulihan ini dan kita yakin pada penghujung tahun ini, kita mampu mencapai kadar 80 peratus penduduk negara divaksin,” katanya.