
Doktor kontrak akan tetap tidak rasa selamat dan berkemungkinan meninggalkan sistem perkhidmatan awam.
Kakitangan awam khususnya di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi peringatan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram.
Dalam satu hantaran Facebook, KKM berkongsi Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan pada 2011 susulan terdapat khabar angin kumpulan doktor kontrak bakal mengadakan mogok pada Isnin hingga Rabu ini.
Surat bertarikh 30 Jun 2011 itu kembali disiarkan di Facebook KKM dengan Unit Integriti kementerian itu menyatakan pembabitan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4 (1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993.
Kumpulan doktor kontrak sebelum ini menggesa pegawai perubatan itu mengambil cuti perubatan atau cuti kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.
Kumpulan itu juga memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM pada hari ini.
Surat edaran atau garis panduan oleh Unit Integriti turut memperincikan bentuk perhimpunan haram yang antaranya bermakna menggunakan masa pejabat atau meninggalkan pejabat untuk melihat dan menyertai perhimpunan.
Bentuk perhimpunan haram itu juga termasuk menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak atau mengedarkan risalah berkaitan perhimpuan haram.
Dalam pada itu hari ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang hangat kebelakangan ini.
Beliau berkata, persetujuan itu dicapai Jemaah Menteri semalam, dengan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perkara itu dinyatakan melalui satu kenyataan hari ini, susulan desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini.