
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dua tuduhan termasuk menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 dan vasksin, dua tahun lalu.
Menurut Hakim Nor Hasniah Ab Razak, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman Adam pada peringkat akhir kes pendakwaan.
“Pihak pendakwaan gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh.
“Mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapi dan wang jaminan dikembalikan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Lokman diwakili peguam, Logen Eskander manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh.
Dalam pada itu, Lokman Adam berkata keputusan tersebut membuktikan beliau tidak salah dalam memberikan fakta.
“Keputusan ini memberi makna bahawa saya tidak menyalahi fakta ketika memberi keterangan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam dan hakim di atas keputusan ini,” katanya yang ditemui di luar mahkamah.
Pada 1 Oktober 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebarkan berita palsu di Facebook berhubung kemasukan warga India menyebar Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar menggunakan profil ‘Lokman Adam’ di Facebook.
Ia menerusi rakaman audio visual berhubung dakwaan warga India memasuki Malaysia menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran Covid-19.
Selain itu, isu mengenai kematian pegawai polis, Asisten Komisioner Shahriman yang adalah Ketua Cawangan Khas Polis Pahang meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.