Najib sekali lagi nafi terlibat pembunuhan Altantuya, selepas pendedahan Sirul

November 26, 2023 · Isu semasa

Pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaaribu tidak mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Najib Razak, kata peguamnya dalam satu kenyataan mewakili anak guamnya.

Bekas Perdana Menteri itu sekali lagi mengulangi penafian yang sama pernah dibuat sebelum ini ekoran wawancara Al-Jazeera dengan Sirul Azhar Umar, yang merupakan salah seorang daripada dua bekas pegawai polis yang disabitkan dengan pembunuhan itu.

“Kami ingin mengulangi bahawa anak guam kami, Najib Razak telah dibebaskan daripada sebarang penglibatan dalam kes ini.

“Pembebasan ini telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk penyiasatan yang dimulakan semula selepas PRU-14 (2018) dan pengesahan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan akhirnya melalui rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang didengar secara menyeluruh atas meritnya,” kata firma guaman Shafee & Co dalam kenyataan.

Dalam prosiding mahkamah berkenaan, peguam Najib berkata pihak pendakwaan dan pihak pembelaan tidak mengaitkan Najib, kecuali ketika Azilah Hadri – pegawai atasan Sirul yang turut disabitkan kesalahan – membuat akuan berkanun mendakwa Najib telah mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Mahkamah Persekutuan enggan menyemak sabitan Azilah berdasarkan “bukti baru”. Panel berpendapat bahawa Azilah sendiri telah menyembunyikan maklumat daripada proses undang-undang, dan oleh itu tidak ada pelanggaran keadilan semula jadi yang akan mewajarkan semakan.

Dalam wawancara yang disiarkan semalam, Sirul masih menutup mulut mengenai dakwaan dalang pembunuhan itu, selain mengatakan Azilah memberitahunya bahawa mereka sedang menjalankan “operasi khas” untuk Najib.

Sirul juga memberitahu Al-Jazeera bahawa masih ada usaha berterusan untuk mempengaruhinya bagi melindungi Najib.

Bagaimanapun, peguam Najib berkata anak guam mereka “menafikan secara mutlak” dakwaan mempengaruhi atau cuba menutup mulut Sirul.

“Malah, dia menggesa Sirul untuk berani dan mendedahkan apa-apa maklumat yang mungkin dia ada mengenai dalang yang dikatakan itu, demi kepentingan membongkar kebenaran, ketelusan dan keadilan,” kata peguam Najib.

Peguam Najib turut bersetuju dengan Ketua Polis Negara Razarudin Husain bahawa Sirul sudah mempunyai peluang untuk membela diri mengikut undang-undang, dan dakwaan dalam wawancara baru-baru ini tidak pernah dibangkitkan di mahkamah.

“Sehubungan itu, anak guam kami menyatakan bahawa memandangkan Sirul berdepan dengan hukuman mati sepanjang perbicaraannya, dia sepatutnya membangkitkan dakwaan baru-baru ini kepada mahkamah jika perkara yang sama ada merit, tetapi masih belum berbuat demikian,” kata firma guaman itu.

Mereka juga menambah bahawa kerajaan harus melibatkan diri dengan rakan sejawatan mereka dari Australia untuk mengekstradisi Sirul dan memudahkan siasatan lanjut berhubung dakwaannya, dan mungkin memberi jaminan kepada kerajaan Australia bahawa hukuman mati tidak akan dilaksanakan terhadapnya.

Sementara itu, Shafee & Co turut menjelaskan bahawa Sirul dan Azilah tidak pernah menjadi pengawal peribadi yang ditugaskan kepada Najib, tetapi tergolong dalam kumpulan pengawal peribadi yang digilir dalam kalangan pemimpin tertinggi kabinet.

“Malah, kedua-duanya ditahan buat kali pertama selepas mereka tiba di lapangan terbang dari United Kingdom selepas mereka menjalankan tugas melindungi perdana menteri terdahulu Abdullah Ahmad Badawi,” kata mereka.

Berita berkaitan
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
17 jam lalu· Politik
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Popular
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Kenapa harga ayam meningkat?
May 26, 2022
Lelaki juga berisiko alami gangguan seksual
February 13, 2023
43,508 pengundi baharu didaftarkan, semakan bermula hari ini: SPR
September 15, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok