
Enam kapal tempur pesisir pantai milik Tentera Laut Diraja Malaysia dibina di limbungan Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak. - Gambar malaysiandefence
Tindakan Kementerian Pertahanan memeterai perjanjian tanpa persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dibidas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
PAC membangkitkan perjanjian tambahan keenam (SA6) dimeterai pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) pada Mei lalu yang disifatkan dibuat tanpa mengikut proses yang sepatutnya.
Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi, berkata perjanjian SA6 yang ditandatangani pada 26 Mei lalu, tidak mendapat persetujuan AGC memandangkan jabatan berkenaan menjelaskan bahawa pihaknya sudah memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA6 dan dikemukakan kembali kepada AGC sebelum ia ditandatangani.
“Keputusan MINDEF membelakangkan AGC dalam menandatangani SA6 ialah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan kerana ia boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” katanya.
Shu Qi berkata, kerajaan turut memutuskan untuk mengurangkan bilangan LCS daripada enam ke lima berikutan pembinaan blok LCS 6 masih belum dimulakan dan peralatan yang sudah dibeli boleh digunakan pada LCS yang lain.
“Walaupun bilangan LCS dikurangkan kepada lima, kos pembinaan LCS meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion dengan pertambahan sebanyak RM2.098 bilion berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), kos pengurusan projek (RM0.066 bilion).
“Kelewatan dan pertambahan masa juga adalah faktor utama peningkatan ini berlaku.
“Kementerian dan agensi kerajaan hendaklah memastikan supaya deraf kontrak yang dirunding dengan syarikat telah dirujuk dan disemak sebagai teratur serta dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terlebih dahulu sebelum ditandatangani,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) juga perlu menjalankan pengauditan sebelum LCS satu diserahkan kepada TLDM dan membentangkannya di Parlimen.
Menyentuh perbahasan LCS di Dewan Rakyat, Shu Qi berkata, mekanisme pembentangan dan perbahasan laporan PAC perlu diteliti dan dibincangkan lebih mendalam terutamanya sama ada menteri yang akan menjawab semua soalan-soalan daripada Ahli Parlimen atau oleh pengerusi dan ahli PAC.
“PAC berpendapat adalah lebih baik Pengerusi dan ahli PAC menjawab soalan-soalan daripada Ahli Dewan Rakyat. Bagaimanapun, sudah pasti ada kekangan daripada pihak PAC untuk memberikan jawapan yang terkini kerana maklumat-maklumat berkenaan hanya diketahui oleh kementerian,” katanya