
Armizan melawat sendiri LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau di Papar hari ini. Gambar Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mengakui isu bekalan air di Sabah kini pada tahap kritikal.
Menurutnya, negeri itu memerlukan pembenihan awan segera bagi meningkatkan paras air sungai yang menjadi sumber air mentah utama bagi pengoperasian berkesan Loji Rawatan Air (LRA).
“Saya tidak mahu berselindung. Memang tahap bekalan air di Sabah sudah mencapai tahap kritikal dan fenomena monsun barat daya kali ini akan menjadikan status itu (bekalan air) menjadi jauh lebih kritikal lagi.
“Namun saya melihat memang keadaannya agak serius dan sekiranya tidak dilakukan (pembenihan awan) akan lebih banyak lagi LRA yang terkesan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau di Papar, hari ini, lapor Bernama.
Menurutnya kerajaan negeri Sabah boleh membuat permohonan untuk proses itu kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha menangani bekalan air yang semakin berkurangan di Sabah.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata ketika ini LRA EWSS turut terjejas apabila paras air sungai Papar menurun menyebabkan loji yang mampu menyalurkan bekalan air bersih 10 juta liter sehari (JLH) itu tidak dapat beroperasi sejak seminggu lalu.
Ia menyebabkan lebih 19,000 penduduk daripada 33 kampung di Papar terputus bekalan air.
Katanya, sebagai tindakan segera, proses penghantaran bekalan air bersih dijalankan menggunakan lori tangki air di kawasan awam seperti masjid dan balai raya untuk penduduk kampung yang terjejas.
Armizan berkata antara cadangan lain akan dilaksanakan dalam jangka masa panjang ialah menyediakan tangki statik berkapasiti antara 10,000 liter hingga 20,000 liter air di kampung yang menghadapi masalah bekalan air kritikal.
Beliau berharap proses naik taraf LRA Kogopon Papar yang berkapasiti 40 JLH kepada 80 JLH yang tergendala akan dapat dilaksanakan tahun ini.
“Jumlah terkini, kita cuba meminimumkan benda tertentu maka memerlukan tambahan RM67 juta lagi daripada kos asal iaitu RM312 juta…jadi kos diperlukan sekarang hampir RM400 juta disebabkan skop yang berubah dan peningkatan harga barangan maka kos itu telah meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan turut berpuas hati dengan pembentangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai pelan jangka pendek bagi menangani krisis air di negeri itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata pelan jangka masa pendek antara enam hingga 12 bulan membabitkan kos RM320.25 juta membuktikan kepemimpinan negeri mengambil tindakan tangkas untuk kepentingan umum dan dilaksanakan dengan segera.
“Kita tiada pilihan, kalau tidak dilaksanakan sekarang sebagai contoh pembinaan empangan kalau tidak diputuskan sekarang, ia tidak akan siap dalam setahun dua tetapi sekurang-kurangnya mengambil masa minimum 60 bulan untuk disiapkan bagi sebuah empangan,” katanya.
Namun katanya, dalam mengambil keputusan itu perlu mengambil kira jaminan keselamatan sosioekonomi, peluang pekerjaan dan ganti rugi kepada penduduk kampung yang terlibat.