
Namun menurut Air Selangor, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja kecemasan pembaikan paip pecah akan dimulakan lebih awal dari tarikh dimaklumkan.
Penduduk Selangor bagi 99 kawasan dalam wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor bakal mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula 22 Mei ini.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan ia susulan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alamn dan Kuala Selangor.
Gangguan bekalan air akan bermula jam 9 pagi pada Isnin dan kerja pembaikan dijangka siap jam 3 pagi pada Selasa manakala bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada hari berikutnya.
“Kerja-kerja pembaikan kecemasan membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar.
“Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama,” kata kenyataan di laman Facebook Air Selangor, hari ini.
Namun menurut Air Selangor, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja kecemasan pembaikan paip pecah akan dimulakan lebih awal dari tarikh dimaklumkan.
“Air Selangor menasihatkan pelanggan terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui aplikasi Air Selangor atau laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan melalui laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.