
Tiga peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Lim Wei Jiet dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berpendapat Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan pada Selasa (23 Ogos) berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM120 juta.
Terdapat banyak ketidakpastian tentang apa yang akan berlaku dalam rayuan terakhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berhubung kes SRC International Sdn Bhd berikutan keengganan peguamnya untuk membuat sebarang hujahan pembelaan.
Pada Jumaat (19 Ogos), peguam utama Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada lima hakim Mahkamah Persekutuan, diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bahawa beliau tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk Najib.
Tengku Maimun bagaimanapun berkata mahkamah akan menangani perkara itu pada Selasa ini, sambil mengarahkan Hisyam turut hadir. Mahkamah sebelum ini menetapkan 15 hingga 19 Ogos serta 23 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan berkenaan.
Sehubungan itu, menurut Bernama, ramai dalam kalangan pengamal undang-undang berpendapat bahawa mahkamah tertinggi itu boleh membuat keputusan serta-merta walaupun tiada hujahan daripada peguam bela Najib.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis yang difailkan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan tahun lepas.
Beliau berkata ia juga boleh dibuat berdasarkan petisyen rayuan yang difailkan peguam cara Najib sebelum ini pada 25 April lepas, yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.
“Terdapat bahan yang mencukupi di hadapan Mahkamah Persekutuan untuk dibincangkan walaupun tanpa penghujahan lisan. Oleh itu, tidak mungkin kes itu akan ditangguhkan,” katanya menurut Bernama.
Peguam Lim Wei Jiet juga bersetuju dengan pandangan itu, dan mengatakan bahawa sebagai mahkamah tertinggi negara, ia berkemungkinan akan membuat keputusan berdasarkan alasan rayuan dalam memorandum rayuan, rekod rayuan serta hujahan dalam Mahkamah Rayuan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib.
Sementara itu, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar berpendapat mahkamah mungkin memuktamadkan perbicaraan pada Selasa, tetapi akan mengekalkan penghakimannya kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
“Keputusan itu mungkin akan disampaikan pada hari lain,” kata peguam itu.
Pihak pendakwaan yang diketuai pendakwaraya ad hoc Datuk V Sithambaram ketika menggulung hujahan Jumaat lalu (19 Ogos) berkata, mahkamah boleh terus sahaja membincangkan keputusan mereka, sekiranya tiada hujahan bertulis atau lisan baharu Najib.
Memetik undang-undang kes, Sithambaram berhujah bahawa terdapat duluan bagi mahkamah untuk “meneruskan dengan sewajarnya” kerana pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk memfailkan sebarang hujahan baharu bagi rayuan itu.
Jumaat lalu merupakan hari kedua panel lima hakim mendengar hujahan itu. Empat lagi hakim yang turut bersidang ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.
Dua hari prosiding menyaksikan pelbagai peristiwa menarik. Hisyam mula-mula cuba menarik diri daripada mewakili Najib, namun permohonannya ditolak, dan mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan mereka.
Hisyam pada Jumaat juga memberitahu panel bahawa Najib telah melepaskan peguam caranya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners daripada mewakilinya.
Peguam itu sekali lagi meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada Khamis minggu depan kerana dia mempunyai kes lain pada Selasa dan Rabu, namun ia juga ditolak oleh mahkamah.
Pada 16 Ogos, mahkamah telah menolak permohonan Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan rayuan diteruskan pada 18 Ogos.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) setelah mendapati bekas perdana menteri itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan berhubung RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.