PRN Melaka: KKM sudah sediakan SOP

Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan sedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya ia dilaksanakan.

Menurut Bernama, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada jemaah menteri berhubung pelaksanaan PRN itu sebelum SOP berkenaan diperincikan.

“KKM sudah memberi pandangan kepada jemaah menteri semalam berkenaan SOP PRN Melaka dan kita serah kepada jemaah menteri untuk buat keputusan terlebih dahulu sama ada PRN diteruskan atau tidak.

“Sekiranya diteruskan maka KKM dah ada pandangan kita berkenaan SOP tertentu yang perlu diambil kira oleh SPR, terlalu awal untuk kita buat pengumuman biar jemaah menteri buat keputusan dulu,” katanya.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada Isnin lepas daripada Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setelah kerajaan negeri dipimpin UMNO hilang majoriti dalam DUN.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR