Hukuman penjara sepanjang hayat pembunuh Along Spoon dipinda ke 33 tahun

November 17, 2023 · Isu semasa

Mahkamah Persekutuan meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada pemenjaraan selama 33 tahun ke atas bekas anggota polis, Mohd Ya’cob Demyati yang didapati bersalah membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Sabi’ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along Spoon.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memerintahkan bekas lans koperal berusia 57 tahun itu, yang telah berada di sebalik tabir besi selama 23 tahun, menjalani hukumannya mulai 4 Jan 2000, iaitu tarikh dia ditangkap, lapor Bernama.

Keputusan itu dibuat di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Mohd Ya’cob adalah antara 13 banduan yang permohonan semakannya didengar oleh panel hakim yang turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Sri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Sabi’ul di tepi jalan di KM28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan pada 26 Dis 1999.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Rindu Serindu-Rindu” itu dilaporkan hilang pada 25 Dis 1999. Polis kemudian menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Jan 2000.

Mohd Ya’cob memfailkan pengampunan kepada Lembaga Pengampunan dan hukuman matinya dikurangkan kepada penjara sepanjang hayat.

Peguam Che Muji Che Noh yang mewakili Mohd Ya’cob memberitahu Bernama anak guamnya dijangka dibebaskan dari penjara hari ini selepas mengambil kira satu pertiga pengampunan yang diberikan kerana berkelakuan baik.

Sementara itu, mahkamah turut meminda hukuman daripada penjara sepanjang hayat dan hukuman mati kepada pemenjaraan antara 30 hingga 36 tahun.

Bekas pengutip hutang, G. Krishna Rao, 47, dan abang iparnya, M. Rajendran, 56, turut mendapat pindaan hukuman daripada penjara sepanjang hayat kepada hukuman pemenjaraan sehingga 36 tahun. Mereka diperintahkan menjalani hukuman mereka mulai 13 Mac 1998.

Kedua-dua lelaki itu disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh empat orang termasuk seorang remaja berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Dermawan, Bercham, Ipoh, Perak antara 6.30 petang pada 12 Mac 1998 dan 11.45 malam pada 13 Mac 1998.

Hukuman mati mereka ditukar kepada penjara sepanjang hayat selepas Lembaga Pengampunan menerima permohonan mereka.
Seorang lagi banduan, Mohd Masri Radhuan, 44, yang juga disabitkan atas kesalahan membunuh, dijatuhi hukuman pemenjaraan sehingga 33 tahun.

Sementara itu, mahkamah turut meminda hukuman mati lapan lagi banduan termasuk dua warga India yang disabitkan kesalahan mengedar dadah kepada pemenjaraan sehingga 30 tahun.

Mereka ialah Lim Hock Boon, Cik Nazeri Mat, Law Yew Kwan@Low Yew Kwan, T. Sivakumar, Razali Ahmad, M. Saravanan Muthu dan dua warga India, Sarumati Rengasamy (wanita) dan Malti. Cik Nazeri, Sivakumar, Saravanan dan Razali masing-masing diperintah dikenakan 12 sebatan.

Kesemua banduan yang berusia 45 hingga 79 tahun itu, masing-masing diarah oleh mahkamah menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) yang berkuat kuasa 12 Sept lepas, memberikan Mahkamah Persekutuan kuasa budi bicara untuk menyemak semula kes membabitkan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat.

Ini susulan penguatkuasaan undang-undang baharu iaitu Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai lepas.

Di bawah undang-undang itu, hukuman mati mandatori bagi kesalahan seperti mengedar dadah dan membunuh telah dihapuskan.

Undang-Undang itu memberi pilihan kepada hakim sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, pesalah boleh juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berusia di bawah 50 tahun.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Timbalannya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah dan Parvin Hameedah Natchiar hadir bagi pihak pendakwaan.

Berita berkaitan
Kes rogol dan bunuh kekasih, bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati
December 15, 2023· Isu semasa
Kes Zayn Rayyan: Bahan bukti ditemui selepas pemeriksaan kali kedua
December 13, 2023· Isu semasa
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
November 29, 2023· Isu semasa
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Baik dan buruk apabila guru berpolitik
February 7, 2022
Minyak botol vs minyak peket
July 20, 2022
Penganggur mengaku tak bersalah buat hantaran hina Sultan Johor
April 28, 2023
Waktu operasi pejabat Imigresen keluar pasport diubah mulai 15 Ogos
August 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok