
Penyelewengan dalam 1MDB menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia yang turut dikaitkan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Lebih 70 peratus atau RM28.93 bilion aset dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dapat dikembalikan sehingga kini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata usaha mengesan baki dana itu akan diteruskan.
“Sehingga kini sebanyak RM28.93 bilion…lebih 70 peratus daripada aset dapat dikembalikan dalam kes 1MDB ini. Duit yang hilang sebenarnya RM42 bilion jadi kalau kita tengok dapat pemulangan dalam RM28.3 bilion. Baki 30 peratus kita cuba dapatkan balik secepat mungkin.
“Kita akan usahakan sebaik mungkin untuk kembalikan wang yang telah dicuri ini kepada negara,” katanya selepas menghadiri majlis tandatangan persefahaman antara SPRM, Universiti Teknologi Malaysia Mara dan Institut Akauntan Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Kata Azam, ia adalah satu kejayaan besar buat negara hasil kerjasama SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Jelasnya lagi, dana terbaharu yang dikembalikan sebanyak AS$1.8 bilion (RM8 bilion) berikutan penyelesaian mengenai pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).