Krisis Russia-Ukraine: Malaysia boleh dikena sekatan jika bantu Moscow

April 30, 2022 · Isu semasa

Kuala Lumpur berisiko terperangkap dalam sekatan yang disokong Barat ke atas Russia susulan pencerobohan ke atas Ukraine, selepas diplomat Malaysia bersedia mempertimbang ‘sebarang permintaan’ daripada Moscow untuk penjualan semikonduktor.

Malaysia telah lama mempunyai peranan yang kurang dikenali tetapi penting dalam industri semikonduktor global. Malaysia adalah salah satu pengeluar utama untuk pemasangan, ujian dan pembungkusan untuk Toyota, Ford, General Motors dan Skoda Auto.

Dalam temu bual yang diterbitkan pada 23 April dengan agensi berita Russia, RIA Novosti, utusan khas Kuala Lumpur ke Moscow, Bala Chandran Tharman menyatakan ‘kegembiraan’ mengenai keyakinan Russia terhadap potensi Malaysia untuk menjadi pembekal peralatan berteknologi tinggi.

Duta itu berkata Malaysia adalah salah satu pengeksport semikonduktor terbesar dunia dengan jumlah jualan tahunan sebanyak AS$8.7 bilion.

Menyedari bahawa industri Malaysia adalah berorientasikan pasaran, Chandran berkata beliau agak pasti bahawa sebarang permintaan daripada pihak Russia mengenai pembekalan produk tersebut akan dipertimbangkan”.

Pemerhati dasar luar Malaysia berkata mereka terkejut dengan nada Chandran yang begitu yakin, memandangkan peningkatan perdagangan dengan Russia boleh menjadi punca untuk Malaysia terperangkap dalam jaringan sekatan yang dilakukan Barat – dan rakan kongsi Asianya seperti Jepun dan Singapura.

Pakar perhubungan antarabangsa Hoo Chiew Ping berkata walaupun Malaysia sememangnya pembuat utama elektronik dan semikonduktor, ia mungkin tidak semestinya memiliki harta intelek (IP) untuk alat ganti itu, yang mungkin dimiliki oleh syarikat AS dan Jepun yang merupakan pelabur utama dalam pasaran Malaysia.

“Malaysia boleh disenaraihitamkan kerana melanggar sekatan dan hak IP. Ini akan membawa kesan buruk kepada pembuatan semikonduktor dan ekonomi,” kata Hoo.

“Apabila [duta] mencadangkan bahawa Malaysia ‘akan’ mempertimbangkan untuk menjual semikonduktor kepada Russia, ia meletakkan Malaysia dalam risiko apabila negara lain mengharamkan perdagangan dengan Moscow,” kata Tunku Mohar Tunku Mokhtar, pakar politik Malaysia.

Mokhtar percaya duta itu hanya bersikap diplomatik dalam jawapannya, “tetapi dengan berbuat demikian, ia juga menunjukkan isyarat oportunistik memandangkan Taiwan telah mengharamkan eksport produk tersebut ke Russia”.

Pada Mac, The New York Times melaporkan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Gina Raimondo menyedari Russia memujuk negara lain untuk tidak melakukan sekatan sama seperti dilakukan AS.

Beliau mengeluarkan amaran keras kepada syarikat China yang berbuat demikian, mengatakan AS akan memotong mereka daripada peralatan dan perisian Amerika yang diperlukan untuk membuat produk mereka.

Memahami tahap keterukan syarikat Malaysia yang dikenakan tindakan sedemikian, pakar geostrategi Azmi Hassan berharap komen duta itu hanya ‘untuk bersikap baik kepada Kremlin’ sebagai sebahagian daripada kapasitinya sebagai utusan Malaysia.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk menjalankan perniagaan baharu dengan Russia,” katanya.

Dengan perang di Ukraine mendominasi berita, Azmi berkata diplomat itu harus lebih berhati-hati dengan apa yang dikatakannya kerana ia ‘tidak akan kelihatan baik untuk Malaysia’.

Malaysia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan teknologi global alternatif dalam sudut pandangan Washington – sebahagian daripada usahanya untuk bersaing secara strategik dengan Beijing dalam perang perdagangan AS-China yang bermula di bawah bekas Presiden AS Donald Trump.

Ini disokong oleh pengenalan Akta Perdagangan Strategik Malaysia pada 2010 yang membolehkannya menguatkuasakan sekatan ke atas teknologi pelbagai guna – yang boleh digunakan untuk tujuan keamanan dan ketenteraan – dan mengesan kaedah lain yang berniat untuk memintas sekatan, yang mendapat sokongan Presiden AS ketika itu, Barack Obama.

Tetapi sebarang hubungan baik masa lalu dari Washington boleh dibatalkan oleh pendapat diberikan Chandran, yang dikongsi oleh media berita milik negara Russia serta kedutaan Russia di Kuala Lumpur, dan mencerminkan hubungan Moscow yang semakin intensif, menurut laporan mengenai sentimen pro-Russia oleh Institut Yusof Ishak (ISEAS).

“Ketika AS, Kanada, dan Kesatuan Eropah menguatkuasakan sekatan keras ke atas Russia kerana pencerobohannya, Moscow mempergiatkan usaha hubungan awamnya untuk mengawal naratif yang dinyatakan dalam media dan di internet,” kata pakar Benjamin Y.H. Loh dan Munira Mustaffa yang bersama-sama mengarang laporan itu.

Kedua-dua pakar berpendapat bahawa ramai yang merasakan keperluan untuk menyokong Moscow dan mengecam tindakan secara langsung untuk menjatuhkan Russia, yang mereka lihat sebagai melanggar ‘kedudukan tidak memihak Malaysia’.

“Rasionalnya ialah memandangkan Malaysia bukan pihak yang terbabit dalam peperangan, ia harus mengelak daripada sebarang penglibatan lisan di dalamnya,” kata mereka.

Ini dilihat sebelum ini dengan bagaimana Malaysia menjauhkan diri daripada menyalahkan Moscow secara langsung atas kejatuhan pesawat penumpangnya, Malaysia Airlines MH17 pada 2014 oleh pemisah yang disokong Russia, bercanggah dengan penemuan pasukan penyiasat bersama antarabangsa.

Temu bual Chandran mendapat pelbagai reaksi oleh orang ramai Malaysia, dengan sesetengahnya meluahkan rasa jijik kerana berpihak kepada diktator.

Yang lain bagaimanapun mengalu-alukannya, menegaskan hak Malaysia sebagai negara merdeka untuk bersahabat dengan sesiapa sahaja yang dipilih.

Pemerhati politik Malaysia, yang juga Pengarah Asia Institute University of Tasmania, Australia, Prof James Chin berkata Malaysia mendapat kekuatan dalam kalangan rakan-rakan jiran Asean dan negara membangun lain susulan tidak memilih pihak dalam konflik ini.

“Malaysia merasakan ini adalah perkara Eropah, jadi kami tidak mahu terlibat. Ia juga perkara kuasa besar, tiada kaitan dengan dunia Islam,” kata Chin. – SCMP

Berita berkaitan
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023· Isu semasa
1MDB: Goldman Sachs saman kerajaan, Pengerusi Pasukan Khas terkejut dengan tindakan
October 12, 2023· Isu semasa
Norway sudah maklumkan PDRM berhubung penahanan warga Malaysia
September 14, 2023· Isu semasa
Ekonomi negara berkembang paling perlahan sejak 2021, hanya 2.9% pada suku kedua
August 18, 2023· Isu semasa
Popular
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Harga roti Gardenia naik 1 Disember
November 25, 2021
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok