Jumlah kes baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu meningkat lagi berbanding semalam, tatkala kadar kebolehjangkitan virus itu kini mencapai nilai Rt 1.15, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,522 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 5,439 kes yang dicatat semalam.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kes positif terkumpul meningkat kepada 2,855,930 kes.
Sehingga semalam, seramai 2,770,663 pesakit dilaporkan telah sembuh, 31,940 kes kematian, dan 47,805 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, 40,749 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,042 ditempatkan di PKRC; 2,890 dimasukkan ke hospital; dan 124 dirawat di unit rawatan rapi, dengan 70 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu beliau juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 1.15, naik berbanding 1.13 pada Rabu.
Mengikut rekod, kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara mula meningkat melebihi nilai Rt 1.00 bermula 20 Januari lalu sebanyak 1.00, berbanding 0.99 pada 19 Januari.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.
Berdasarkan perkongsian Dr Noor Hisham, kadar kebolehjangkitan di Negeri Sembilan semakin membimbangkan apabila mencatat nilai Rt 1.21.
Ini diikuti Kedah dengan nilai Rt 1.16; Johor (1.14); Pulau Pinang (1.10); Kuala Lumpur (1.08); Rt 1.07 bagi Selangor, Putrajaya serta Melaka; Kelantan (1.05); Sabah (1.04); dan Pahang (1.03), sementara negeri-negeri lain mencatat Rt di bawah 0.99