KDNK negara berkembang 5.0 peratus suku pertama, meningkat berbanding 2021

May 13, 2022 · Isu semasa

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini, prestasi yang lebih baik berbanding suku sama tahun lalu, menurut data terbaharu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Tahun lalu, KDNK negara mengalami penguncupan 0.5 peratus pada suku sama 2021 susulan penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar terhadap kepesatan ekonomi negara.

Bagaimanapun, susulan pelan pemulihan yang dirangka sejak tahun lalu oleh kerajaan ketika berdepan cabaran Covid-19 akhirnya membuahkan hasil dan mula menampakkan kesan positif, ia disokong terutama oleh pengukuhan permintaan domestik.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi KDNK pada suku tahun pertama 2022 dari segi penawaran adalah dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Dari segi permintaan pula, beliau berkata, pertumbuhan disokong oleh pengembangan dalam perbelanjaan penggunaan isi rumah dan pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar pada suku tahun ini.

“Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi pada suku tahun pertama 2022 telah melepasi paras suku tahun pertama 2019 sebanyak 5.2 peratus atau RM17.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku pertama tahun 2022 di sini, hari ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus turut hadir semasa pembentangan prestasi ekonomi negara dan menyifatkan usaha pemulihan yang dirangka sebelum ini sudah menampakkan hasil.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan KDNK suku pertama itu disokong terutama oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

“Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1 peratus, di samping sokongan dasar yang berterusan.

“Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus.

“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9 peratus,” katanya.

Beliau menambah, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku pertama 2022.

“Hal ini mencerminkan terutama sumbangan lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lalu, selain ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada 2020.

“Inflasi teras meningkat kepada 1.7 peratus pada suku itu. Hal ini mencerminkan pelarasan harga berikutan kos yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga yang lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan oleh faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global lebih tinggi,” katanya.

Berita berkaitan
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023· Isu semasa
1MDB: Goldman Sachs saman kerajaan, Pengerusi Pasukan Khas terkejut dengan tindakan
October 12, 2023· Isu semasa
Keadaan perniagaan Malaysia semakin merosot sejak Jan: Laporan
October 2, 2023· Isu semasa
Norway sudah maklumkan PDRM berhubung penahanan warga Malaysia
September 14, 2023· Isu semasa
Popular
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lelaki juga berisiko alami gangguan seksual
February 13, 2023
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Cara mudah bersihkan rumah akibat banjir
December 26, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok