
Isu air di Kelantan.
Kerajaan campuran menolak permohonan awal Kelantan untuk RM8 bilion bagi menyelesaikan isu air di negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri (PMX) mengesahkan keputusan menolak permohonan tersebut atas alasan kerajaan perlu meneliti secara tepat keperluannya.
Beliau berkata, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan.
“Saya tidak setuju kerana saya minta dibincangkan dalam pasukan (petugas) khas untuk meneliti secara tepat, apa keperluannya, dan ada syarat, umpamanya pengurusan (serta) juga memenuhi beberapa pelaksanaan projek.
“Bergantung pada laporan pasukan petugas (khas), saya fikir boleh diturunkan lagi (jumlahnya),” katanya dipetik laporan FMT.
Anwar terdahulu menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau telah mengadakan mesyuarat khas pagi tadi bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan setiausaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air di kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata, tindakan segera seperti peruntukan dana dibincangkan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak sampai dan tidak bersih.
“Apa yang penting, tanggungjawab kita adalah pastikan rakyat perolehi kemudahan air bersih sesegera mungkin,” katanya.
Anwar juga mengakui masalah air di Kelantan dilihat lebih serius, yang memerlukan dana kewangan yang besar, berbanding negeri lain.
Bulan lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa peruntukan tidak cukup punca utama Kelantan berdepan masalah bekalan air bersih.