
Kapal tempur pesisir pantai TLDM yang dilancarkan pada 2017 adalah LCS 1 sebenar tetapi belum siap. - Gambar FB
Kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang dipaparkan dalam visual pelancaran di limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) di Lumut pada 2017, adalah kapal sebenar, namun ianya masih dalam proses pembinaan.
Bekas Panglima Tentera Laut Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut itu bertujuan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar.
Menurutnya beliau turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan dan menghormati serta memahami kenapa orang ramai mempersoalkan tentang di mana kapal LCS dan kenapa ianya dilancarkan sekiranya masih belum siap.
“Cuma apabila fitnah seperti ini ditularkan, saya terpanggil untuk memperbetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM.
“Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Kamarulzaman menjelaskan pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya adalah tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama.
“Sebagai contoh praktis di negara lain – semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk kerajaan Emiriah Arab Bersatu di Perancis – kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.
“Jadi, tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada 2017 dibuat untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar.
“Malah saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu adalah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang sengaja menimbulkan isu berkenaan demi kepentingan sendiri hingga sanggup mengelirukan orang ramai.