
Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akui proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low rumit.
Menurutnya kerajaan sedang berunding dengan berunding dengan beberapa negara bagi mengekstradisi Jho Low.
“Ini kerana rundingan sebegini membabitkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol (Polis Antarabangsa) dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah, hari ini.
Jelas Anwar, kerajaan mengetahui keberadaan individu diburu itu dan rundingan dijalankan bagi memperepatkan proses itu.
Sebelum ini pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope yang memetik sumber mendedahkan dalam satu laman web bahawa rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Anwar ke China, bulan lalu.
Bagaimanapun Anwar enggan memperincikan butiran rundingan yang dilaporkan itu.
“Kami tidak pernah mengesahkan negara (Jho Low dipercayai bersembunyi). Rundingan mengenai perkara itu sedang dibuat dengan negara terbabit melalui saluran diplomatik yang betul,” katanya yang turut enggan nengesahkan sama ada rundingan itu membabitkan China seperti didakwa.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan notis merah yang dikeluarkan oleh Interpol terhadap Jho Low masih aktif.
Notis tersebut turut membabitkan lima individu lain yang terbabit dalam skandal 1MDB antaranya Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Jasmine Loo, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.