
Kali terakhir rakyat Malaysia menyaksikan gerhana bulan iaitu gerhana bulan separa ialah pada 16 Julai 2019.
Negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia bakal menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh perigee di mana bulan akan kelihatan lebih besar daripada biasa, pada waktu Maghrib, Rabu ini.
Kali terakhir rakyat Malaysia menyaksikan gerhana bulan iaitu separa ialah pada 16 Julai 2019, lapor laman sesawang Falakonline.
Gerhana penuh kali ini akan berlaku ketika bulan baharu sahaja terbit di ufuk timur selepas waktu Maghrib. Ini bermakna kedudukan bulan sangat rendah di ufuk dan penduduk Semenanjung hanya akan dapat melihat separuh sahaja daripada keseluruhan fasa gerhana.
Menurut laman sesawang utu, fasa gerhana yang dimaksudkan ialah apabila bulan mula memasuki bayang-bayang umbra dan akan keluar semula.
“Berbalik kepada apa yang kita akan dapat lihat dari Semenanjung, pada waktu Maghrib ketika bulan terbit, bulan sedang berada di kemuncak gerhana penuh iaitu keseluruhan piring bulan sudah pun berada di dalam kawasan gelap bayang-bayang umbra.
“Kita hanya dapat tengok separuh masa kedua sahaja, yakni bermula dari kemuncak gerhana penuh dan ia kembali keluar dari bayang-bayang umbra.
“Namun begitu, bagi pencerap di Sarawak dan Sabah, anda lebih bernasib baik kerana apabila bulan sedang terbit pada waktu Maghrib, ia masih belum masuk sepenuhnya ke dalam kawasan bayang-bayang gelap umbra,” kata Falakonline.
Keseluruhan fasa gerhana bulan iaitu daripada awal bulan memasuki umbra hingga keluar daripadanya akan mengambil masa selama 3 jam 7 minit.
“Keseluruhan fasa gerhana penuh iaitu bBulan berada keseluruhan di dalam kawasan gelap umbra, mengambil masa hanya 15 minit sahaja,” katanya.
Bulan kali ini mungkin akan kelihatan sedikit besar berbanding hari-hari biasa kerana kebetulan waktu gerhana penuh ini berlaku, bulan berada di dalam kedudukan paling hampir dengan Bumi, iaitu perigee dengan jangkaan jarak 362,146 kilometer.
Gerhana bulan penuh kali ini akan tamat pada jam 8.52 malam di seluruh Malaysia dan waktu untuk melakukan solat sunat khusuf bermula waktu Maghrib sehingga jam 8:52 malam.