
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan imunisasi vaksin Covid-19 dijadikan suntikan wajib. - Gambar Agenda Daily
Ahli Parlimen (PN-Kinabatangan) Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan supaya kerajaan menjadikan imunisasi vaksin Covid-19 sebagai suntikan wajib kepada rakyat negara ini.
Beliau membuat cadangan itu susulan jumlah individu yang menerima suntikan vaksin didapati masih rendah, berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.
Perkara itu, katanya perlu dipertimbangkan kerana pandemik Covid-19 kini sudah merentasi sempadan dan bukan hanya menjejaskan ekonomi, tetapi juga kehidupan dan nyawa rakyat.
“Saya ingin juga mengesyorkan supaya kerajaan mewajibkan vaksin ini untuk semua masyarakat … sebagai mandatori.
“Apabila semua divaksin, kita boleh hidup dalam komuniti yang sihat. Jika di Amerika Syarikat (AS), Russia, mereka pergi rumah ke rumah memberi suntikan vaksin. Ini yang perlu kita perluaskan,” katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu Dewan Rakyat seramai 12.49 juta penduduk negara ini atau 38.2 peratus keseluruhan populasi, sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Beliau berkata, daripada jumlah itu 5.9 juta atau 18.1 peratus mendapat dos lengkap vaksin sekali gus bermakna sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang sudah diberi kepada rakyat negara ini.
“Sebanyak 53.3 peratus orang dewasa daripada keseluruhan populasi rakyat negara ini sudah menerima menerima satu dos vaksin,” katanya.