BNM jamin pelanggaran data iPay88 tidak libat kelemahan sistem bank

August 12, 2022 · Isu semasa

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pelanggaran data yang diumumkan penyedia gerbang pembayaran iPay88 (M) Sdn Bhd, terhad kepada sistem pembayaran kad syarikat itu dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem bank.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata siasatan forensik berhubung insiden itu masih diteruskan.

“Pelanggaran itu berpunca daripada dan terhad kepada sistem kad pembayaran iPay88 dan tidak melibatkan kelemahan dalam sistem bank.

“Institusi kewangan di Malaysia juga memerhati kaedah pengesahan yang kukuh untuk transaksi kad dalam talian, termasuk menggesa pemegang kad untuk membuat pengesahan tambahan bagi transaksi tertentu yang dianggap lebih berisiko.

“Ini mengurangkan risiko penipuan transaksi daripada berlaku,” kata BNM hari ini ketika mengulas kejadian sistem iPay88 mengalami “insiden keselamatan siber” yang mungkin telah menjejaskan data kad pelanggan.

Semalam, iPay88 mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa mereka mengalami “insiden keselamatan siber” yang mungkin telah menjejaskan data kad pelanggan.

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pemprosesan pembayaran kepada pelbagai perniagaan, termasuk platform e-dagang Shopee, dan syarikat perkhidmatan telekomunikasi.

Kad pembayaran daripada kebanyakan bank utama dan perkhidmatan e-wallet di negara ini diterima oleh gerbang iPay88, menjadikan insiden itu amat membimbangkan.

Susulan itu, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menegaskan dan mengesahkan pihak bank sentiasa memberi perhatian serius kepada keselamatan data pemegang kad.

Dua persatuan itu menjelaskan bank melakukan langkah balas keselamatan tambahan untuk melindungi pemegang kad daripada risiko yang berpotensi berlaku.

Mengulas lanjut, BNM berkata bagi urus niaga yang tidak disahkan, terutamanya pembelian daripada peniaga luar negara, pelanggan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang transaksi penipuan atau tidak dibenarkan yang mungkin timbul daripada kejadian ini.

Sehubungan dengan kejadian itu, BNM berkata mereka telah mengarahkan bank supaya segera memberitahu pemegang kad yang terjejas mengenai langkah perlindungan tambahan untuk terus melindungi mereka daripada risiko transaksi penipuan atau tidak dibenarkan.

Bank juga telah meningkatkan pengurusan risiko penipuan dan pemantauan aktiviti mencurigakan atau penipuan untuk kad yang terjejas.

“Bank Negara memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pembayaran, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan yang diperlukan untuk memastikan kawalan keselamatan yang kukuh dilaksanakan dan diselenggara oleh institusi kewangan, dan pelanggan dilayan secara adil.

“Pelanggan dinasihatkan supaya segera memberitahu bank mereka jika mereka melihat sebarang transaksi tidak teratur atau tidak dibenarkan pada kad mereka,” tambah BNM.

Berita berkaitan
Ketika rakyat sudah dibebani harga barang naik, caj QR DuitNow jadi pertikaian
September 29, 2023· Isu semasa
Unit Pemusnah Bom tak kesan bahan meragukan di Bank Negara: Polis
September 20, 2023· Isu semasa
Ekonomi negara berkembang paling perlahan sejak 2021, hanya 2.9% pada suku kedua
August 18, 2023· Isu semasa
Masalah kewangan, tekanan ekonomi punca pasangan muda bercerai
July 25, 2023· Isu semasa
Popular
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Helikopter terhempas di Bidor, juruterbang terbunuh: Polis
September 12, 2022
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok